PUTRAJAYA, 21 Februari 2022 – Sambutan pengguna dan peniaga terhadap Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) amat menggalakkan di seluruh Malaysia sejak ianya dilancarkan secara rasmi oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob, Perdana Menteri Malaysia pada 2hb Disember 2021.
Maklumbalas Pengguna yang diterima rata-rata menyambut baik dan meminta PJKM ini dilaksanakan secara berkala dan mengakui bahawa harga barang-barang yang dijual dapat meringankan bebanan kos sara hidup rakyat dalam situasi harga barang yang dilaporkan kian meningkat.
Sehingga 14 Februari 2022, seramai 1,181,376 pengunjung telah membanjiri PJKM di 775 lokasi seluruh negara dengan nilai jualan yang dicatitkan berjumlah lebih dari RM22.85 juta.
Sehubungan dengan itu dan atas permintaan YAB Perdana Menteri sendiri yang mahukan rakyat pelbagai strata ekonomi di seluruh pelusuk negara turut mendapat manfaat, PJKM kini diperluaskan meliputi kawasan-kawasan parlimen luar bandar yang menawarkan barang barang keperluan dengan harga sehingga 20% lebih murah daripada harga pasaran setempat.
PJKM menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian dengan harga berpatutan yang lebih murah antaranya Ayam, Ikan, Telur, Sayur-sayuran, Minyak masak, Gula, Tepung, Beras; dan Barangan Keperluan Rumah terpilih. Penyertaan daripada pembekal, pemborong dan peruncit juga amat menggalakkan dalam membantu usaha kerajaan menangani kenaikan kos sara hidup.
PJKM dijalankan setiap minggu serentak di seluruh negara di kawasan parlimen yang terpilih di lokasi-lokasi yang berdekatan dengan golongan sasar iaitu B40 dan M40. Biasanya PJKM diadakan selama dua hari di hujung minggu mengikut negeri se awal dari jam 8.00pagi hingga 4.00 petang bergantung kepada stok barang yang ada.
Di samping sambutan pengguna, faktor kejayaan PJKM adalah koloborasi yang erat antara KPDNHEP dengan agensi-agensi kerajaan dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) seperti FAMA dan LKIM serta rakan-rakan strategik sektor peruncitan. Sehingga kini, sejumlah 113 rakan strategik telah mengambil bahagian melaksanakan program PJKM di seluruh negara.
KPDNHEP mengingatkan kepada semua peniaga agar sentiasa beretika serta mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. KPDNHEP juga berharap pengguna tidak melakukan pembelian panik yang akan mengganggu kestabilan bekalan dan harga barang. PJKM ini harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh semua untuk berjimat mengurangkan belanja dapur seharian.
Lebih dari 2,200 Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut dan aduan, orang ramai boleh menyalurkan ke talian Whatsapp di 019 279 4317, aplikasi ez-Adu atau melalui email ke aduan@kpdnhep.gov.my.


