Badan Pelindung Radioaktif
Ketua Pengarah Atom Malaysia, YBrs. Pn Hajah Noraishah binti Pungut

Rakyat Malaysia Perlukan Badan Pelindung Daripada Bahaya Sinaran Radioaktif Berlebihan

Hannah

Rakyat Malaysia Perlukan Badan Pelindung Daripada Bahaya Sinaran Radioaktif Berlebihan

Bayangkan jika terdapat kebocoran bahan radioaktif dan ianya tanpa kawalan, siapa yang akan lindungi kita?

Siapa yang pastikan pekerja industri, orang awam, dan alam sekitar tidak terdedah kepada bahaya yang tak boleh dilihat tapi boleh merosakkan kesihatan dalam jangka panjang?

Itulah antara persoalan yang cuba dijawab oleh Jabatan Tenaga Atom (Atom Malaysia) dalam usaha mereka meminda undang-undang lama berkaitan kawalan bahan radioaktif dan tenaga atom.

Akta Lama Sudah Lapuk, Undang-Undang Perlu Diperkasa

Akta Pelesenan Tenaga Atom 1984 (Akta 304) dah 40 tahun berkuat kuasa. Banyak perkara sudah tidak relevan, terutama dari segi teknologi, keselamatan dan kawalan.

Dalam dunia yang semakin moden dan kompleks, undang-undang lapuk boleh menjadi titik kelemahan negara.

Sebab itu satu draf Rang Undang-undang (RUU) baru sedang disediakan dan dijangka dibentangkan pada tahun 2025.

Tujuannya jelas: untuk perkasakan keselamatan rakyat, pekerja sinaran, dan alam sekitar daripada bahaya sinaran radioaktif.

Bukan Sekadar “Safety”, Tapi Sekuriti dan Kawalan

Apa beza? Akta lama lebih fokus kepada keselamatan fizikal seperti kebocoran radiasi. Tapi sekarang dunia berubah. Ancaman keselamatan merangkumi isu seperti:

  • Penyeludupan bahan radioaktif

  • Barangan dwi-guna (boleh jadi untuk aman, boleh juga untuk senjata)

  • Sabotaj atau pengganas nuklear

RUU baru akan perkasakan aspek sekuriti dan safeguards – memastikan semua penggunaan bahan radioaktif terkawal dan tidak disalah guna.

Kenapa Rakyat Kena Ambil Peduli?

1. Kita tiada loji nuklear, tapi banyak industri di Malaysia guna bahan radioaktif – contohnya dalam bidang perubatan, pembinaan, dan minyak dan gas.

2. Tanpa undang-undang yang kukuh, Malaysia boleh dikenakan sekatan antarabangsa jika berlaku kebocoran atau kesalahan penggunaan bahan berbahaya.

3. RUU ini penting untuk tarik pelabur asing – mereka hanya akan melabur jika yakin dengan tahap kawalan dan keselamatan negara.

4. Produk Malaysia lebih mudah tembus pasaran global jika pematuhan kepada piawaian antarabangsa terjamin.

Cabaran Pelaksanaan? Banyak. Tapi Tidak Mustahil.

RUU ini berdepan banyak cabaran:

  • Pertindihan dengan kuasa kerajaan negeri terutama dalam bidang perlombongan (contoh: uranium & torium).

  • Perlu selaras dengan undang-undang lain seperti Akta Perdagangan Strategik 2010 (STA 2010).

  • Proses penggubalan dan pewartaan rumit dan lama.

Namun, semua ini perlu dilalui untuk pastikan Malaysia tidak ketinggalan dan rakyat terus dilindungi.

Malaysia Sudah Jadi Contoh di ASEAN

Tahukah anda, Malaysia kini Pengerusi ASEANTOM – badan pengawal selia tenaga atom di rantau ini? Kita juga aktif dalam latihan keselamatan bersama negara jiran seperti Indonesia, Thailand, dan Singapura. Bahkan, kita sudah berjaya bangunkan alat pengesan radiasi yang kini dijual ke luar negara.

Ini bukti Malaysia bukan sahaja pandai jaga keselamatan sendiri, tetapi mampu jadi peneraju dalam kawalan tenaga atom di rantau ini.

Kesimpulan: Undang-Undang Baru Ini Bukan Sekadar Kertas

Pindaan Akta ini bukan isu teknikal yang patut disimpan dalam pejabat. Ia menyentuh soal keselamatan negara, kesihatan rakyat, dan kedaulatan ekonomi. Rakyat perlu tahu dan sokong usaha ini agar Malaysia benar-benar bersedia menghadapi cabaran masa depan, termasuk penggunaan tenaga nuklear jika suatu hari nanti ia dilaksanakan.

Kita perlukan badan pelindung yang kuat. Undang-undang yang tegas. Dan kesedaran rakyat. Bahaya sinaran tak nampak dengan mata, tapi kesannya boleh kekal seumur hidup.

BACA: Malaysia Tidak Kompromi, Sentiasa Sedia & Pantas Hadapi Ancaman Nuklear

BACA: Ramai Ingat Dari Bom Nuklear Je, Radiasi Sebenarnya Selalu Ada Di Sekeliling Kita

BACA: Kita Perlukan Undang-Undang Baharu Untuk Lindungi Rakyat Daripada Risiko Radioaktif – Ketua Pengarah Atom Malaysia