
Rakyat Malaysia Didapati Positif Dadah Selepas Pulang Dari Thailand Bakal Berdepan Tindakan – Polis
Polis Diraja Malaysia memberi amaran bahawa Rakyat Malaysia yang positif dadah selepas pulang bercuti dari Thailand akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, lapor Astro Awani.
Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, akta dan tindakan yang sama akan diambil kepada semua individu yang memasukkan dadah ke dalam tubuh badan mereka dan didapati positif dadah di negara ini.
“Jika ada rakyat Malaysia dengan sengaja mencuba dan mengambil dadah atau apa-apa produk ganja yang menyebabkan mereka khayal akan didapati bersalah di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Membawa masuk produk berasaskan ganja juga merupakan kesalahan di bawah akta yang sama dan akan dituduh sebagai memiliki atau mengedar dadah jika ia dalam kuantiti yang besar,” katanya kepada Sinar Harian.
Jelasnya, Op Tapis Sempadan di pos kawalan warta iaitu di Wang Kelian dan Padang Besar akan mula dijalankan pada 23 hingga 24 Julai oleh Ibu Pejabat Polis (IPD) Padang Besar.
Katanya lagi, sebanyak 96 pemeriksaan telah dilakukan, seramai enam daripada 71 individu yang menjalani saringan ujian air kencing dalam Op Tapis Sempadan didapati telah positif dadah.
“Operasi Tapis ini dilakukan bukan hanya di sempadan Perlis malah di seluruh negeri secara berkala selari dengan tindakan Op Tapis Khas yang dijalankan setiap bulan di seluruh Malaysia,” kata Datuk Surina.
Tambahnya lagi, setakat ini polis masih belum mengesan produk yang berasaskan ganja ataupun ketum dibawa masuk ke Perlis namun mereka akan terus melakukan pemeriksaan dan tangkapan jika terdapat rakyat Malaysia yang berbuat demikian.
Semua produk berasaskan dadah berbahaya tertakluk di bawah Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952 dan adalah salah di sisi undang-undang tidak kira kuantiti yang dimiliki.
“Jika jumlah melebihi anggapan di bawah akta sama seseorang itu boleh dianggap sebagai ‘pengedar dadah’ dan sebagai contoh, 200 gram atau lebih berat bersih ganja boleh dihukum di bawah Seksyen 39B akta sama dan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup,” katanya.
Bagi produk yang mengandungi ketum pula akan diambil tindakan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Beliau juga berkongsi, peningkatan kes penyeludupan dadah adalah berdasarkan permintaan daripada penagih tempatan. Semakin ramai penagih, semakin tinggi permintaan dan secara tidak langsung penyeludupan dan pengedar dadah akan menggunakan pelbagai cara untuk membolosi sempadan bagi mendapatkan bekalan.
Ujarnya lagi, pihak polis akan menggunakan kepakaran dalam pengumpulan maklumat risikan dan akan mengenal pasti sindiket tempatan yang mempunyai hubungan dengan kegiatan pengedaran dadah merentasi sempadan.
“Tindakan ini bukan sahaja akan melumpuhkan sindiket tempatan malah kerjasama antarabangsa juga akan memastikan penyeludup dari negara jiran juga akan diambil tindakan,” kata Datuk Surina.
Sumber: Astro Awani