Harga Minyak Global Jatuh Menjunam, Menteri Kewangan Beri Penjelasan

Sha Rossa

Buat pertama kali dalam sejarah, kejatuhan harga minyak mentah Amerika Syarikat (AS) menjunam sehingga mencecah angka negatif, semalam.

Harga minyak tersebut dilaporkan jatuh ke bawah paras $0, iaitu ke paras negatif -$37.65 setong pada Isnin.

Ianya sekaligus menimbulkan kebimbangan global apabila lebih banyak kesan negatif berbanding positif akan dihadapi oleh rata-rata negara.

Menteri Kewangan, Tengku Dato Sri Zafrul Tengku Abdul Azizi dalam satu kenyataan berkata, sekiranya harga minyak merosot hingga ke paras lebih rendah daripada anggaran purata tahunan, kerajaan akan menyusun semula keutamaan perbelanjaan bagi mengimbangi kejatuhan pendapatan.

Tambah beliau, kerajaan memahami perhatian rakyat mengenai harga minyak, namun adalah penting untuk memahami bagaimana negara kita mempuyai asas ekonomi yang pelbagai.

Oleh itu, bagi meningkatkan daya tahan ekonomi negara, Kementerian Kewangan akan meneliti langkah-langkah sepatutnya bagi menyusun semula sektor ekonomi dan akan terus memantau perkembangan harga minyak.

Sumber: Kementerian Kewangan Malaysia