Sebuah video yang menunjukkan reaksi Jada Pinkett Smith selepas suaminya, Will Smith melempang wajah pelawak terkenal, Chris Rock di malam anugerah Oscar sempat beredar di laman sosial.
Rakaman tersebut dikatakan diambil dari belakang tempat duduk Jada dan Will ketika anugerah itu berlangsung di Dolby Theatre, Hollywood, Ahad lalu.
Sebelumnya, dunia hiburan sempat gempar apabila selebriti terkenal Hollywood berkenaan menampar Chris di atas pentas berprestij Oscar setelah Chris berjenaka tentang keadaan isterinya yang botak.
Jada dikatakan menghidap alopecia, sebuah penyakit melibatkan imun yang menyebabkannya mengalami keguguran rambut.
Melihat keadaan Jada, pelawak tersebut menyamakannya dengan watak G.I Jane 2, lakonan Demi Moore yang juga mencukur kepalanya untuk filem berkenaan.
Jenaka Chris yang dianggap keterlaluan itu jelas kurang disenangi Will yang tidak tunggu lama untuk bangun dan bertindak membela isterinya.
Reaksi Jada lepas Will lempang Chris
Dalam video yang beredar, dapat dilihat Will berjalan kembali ke tempat duduknya berhampiran pentas selepas melempang Chris, diikuti reaksi terkejut pelawak berkenaan.
“Will Smith baru sahaja memukul saya,” ucap Chris setelah menerima ‘penangan’ dari pelakon berkenaan.
Kata-kata Chris seterusnya disambut gelak ketawa tetamu yang hadir pada malam anugerah. Namun tak disangka-sangka, Jada turut sama ketawa dengan reaksi Chris.
“Jauhkan nama isteri aku dari mulut kau!” jerit Smith kepada pelawak dan pengacara itu setelah kembali ke tempat duduknya.
Namun Chris Rock tetap ‘berjenaka’ dengan menjawab, “Ini adalah malam yang terhebat dalam sejarah siaran televisyen,” sebelum menyampaikan anugerah Dokumentari terbaik Anugerah Akademi Oscar ke-94.
Pun begitu, Will telah pun meminta maaf secara terbuka kepada Chris, pihak Oscar, tetamu-tetamu yang hadir dan para penonton atas tindakan yang dianggapnya tidak wajar.
“Jenaka bagi saya adalah sebahagian daripada kerja, namun melawak tentang keadaan kesihatan Jada bagi saya sangat keterlaluan dan saya bertindak mengikut emosi.
“Saya meminta maaf secara terbuka kepada anda, Chris.
“Saya melebihi batas dan saya mengaku salah,” jelas Will dalam satu kenyataan.
Selebriti Hollywood itu turut malu atas perbuatannya dan bertekad untuk mencuba memperbaiki dirinya dari semasa ke semasa.
Sumber: Daily Mail