Pemerintah Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz dilaporkan memecat sejumlah pegawai tertinggi dalam kerajaan Teluk pada Jumaat menerusi satu perintah diraja.
Menurut Saudi Press Agency, Raja Salman memecat Dr Mohammed Saleh bin Taher Benten dari jawatannya sebagai Menteri Haji dan Umrah dan menggantikannya dengan Issam bin Saad bin Saeed buat sementara waktu di samping tugasnya sebagai Menteri Negara dan ahli Kabinet.
Namun, tiada alasan diberikan untuk pemecatan tersebut.
Pemerintah Arab Saudi itu juga menamatkan perkhidmatan Presiden Mahkamah Pentadbiran Tertinggi, Syeikh Ibrahim bin Suleiman bin Abdullah Al-Rasheed, melantik Sheikh Ali bin Suleiman bin Ali Al-Sa’awi sebagai penggantinya.
Abdulhadi bin Ahmed Al-Mansouri, Presiden Lembaga Umum Penerbangan Awam, juga dipecat dan digantikan oleh Abdulaziz bin Abdullah Al-Duailej.
Dalam perintah diraja yang lain, Raja Salman melantik Abdulhadi bin Ahmed Al-Mansouri sebagai pembantu Menteri Luar Negeri untuk Urusan Eksekutif dan melepaskan Mohammad bin Tuwailea Al-Sulami dari jawatannya sebagai pembantu Menteri di Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial.
Maher bin Abdulrahman bin Ibrahim Al-Qasim juga telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial sementara Abdulaziz bin Abdulrahman bin Abdulaziz Al-Arifi telah dilantik sebagai Pembantu Menteri Pengangkutan.
Raja Salman juga melantik Dr Samir bin Abdulaziz bin Mohammed Al-Tabib sebagai penasihat di Sekretariat Umum Majlis Menteri.
Sumber: Arabian Business