Rahsia Orang Jepun Kekal Kurus Walau Makan Nasi Setiap Hari
Gambar AI
Tiada Kategori

Rahsia Orang Jepun Kekal Kurus Walau Makan Nasi Setiap Hari

suhaila

Rahsia Orang Jepun Kekal Kurus Walau Makan Nasi Setiap Hari

Pernah tak anda terfikir, bagaimana orang Jepun boleh kekal kurus, langsing dan sihat walaupun makan nasi putih setiap hari tanpa gagal?

Sedangkan kita di Malaysia pun makan nasi juga. Malah boleh dikatakan tiga kali sehari tetapi makin ramai yang terpaksa berdepan masalah berat badan berlebihan, perut buncit dan penyakit kronik yang datang menyerang seawal usia muda.

Lebih mengagumkan, orang Jepun bukan sahaja jarang gemuk malah mempunyai kadar obesiti yang antara paling rendah di dunia.

Mereka juga terkenal dengan jangka hayat yang panjang, kekal aktif walaupun sudah berusia,dan jarang diserang penyakit kronik seperti darah tinggi atau kencing manis yang kian menjadi penyakit biasa di negara kita.

Persoalannya, kalau sama-sama makan nasi, di mana silapnya kita? Adakah rahsia mereka terletak pada jenis nasi, cara masak atau sebenarnya gaya hidup dan cara makan yang diamalkan sejak turun-temurun?

Dalam artikel ini, kita akan bongkar bagaimana cara orang Jepun menguruskan saiz hidangan, memilih lauk yang seimbang dan menjaga cara makan.

Semua ini membantu mereka mengekalkan rutin harian yang aktif dan membuatkan mereka kekal kurus.

1. Saiz hidangan lebih kecil

Salah satu sebab utama kenapa orang Jepun kekal langsing ialah saiz hidangan mereka yang lebih kecil berbanding tabiat makan orang Malaysia.

Di Jepun, nasi dihidangkan dalam mangkuk kecil yang hanya muat sekitar setengah mangkuk sahaja iaitu lebih kurang 150 gram. Mereka benar-benar berpegang pada prinsip cukup sekadar mengalas perut.

Jarang sekali orang Jepun menambah nasi berkali-kali dalam satu hidangan apatah lagi makan nasi bertimbun seperti kita yang gemar menambah lauk berlemak untuk menambah selera.

Pendekatan ini membantu mereka mengawal jumlah kalori harian tanpa perlu berlapar atau mengikat perut secara paksa.

Ini Sebab Kenapa Orang jepun Kekal Kurus

2. Hidangan yang seimbang

Selain saiz hidangan, orang Jepun juga terkenal dengan hidangan yang berkonsep seimbang. Mereka mengamalkan susunan hidangan ‘Ichiju-Sansai’ yang merangkumi satu mangkuk sup, tiga jenis lauk sampingan dan nasi dalam jumlah sederhana.

Konsep ini menjadikan setiap hidangan seimbang dari segi protein, serat dan karbohidrat tanpa membebankan sistem penghadaman.

Lauk sampingan pula biasanya terdiri daripada ikan segar yang dipanggang, tauhu, sayur-sayuran rebus, rumpai laut dan sedikit ulam atau jeruk.

Gabungan rasa yang ringan dan segar ini membantu mereka merasa kenyang lebih lama tanpa perlu bergantung kepada makanan berat yang tinggi lemak dan gula tersembunyi.

3. Kurang masakan bergoreng dan bersantan

Kalau dibandingkan dengan masakan Malaysia, perbezaannya memang ketara. Makanan Jepun jarang sekali menggunakan santan, minyak yang berlebihan atau bahan perasa yang terlalu pekat.

Teknik memasak seperti mengukus, merebus, memanggang atau malah menyajikan makanan mentah seperti sashimi menjadi pilihan utama mereka.

Cara ini membantu mengekalkan rasa asli dan kualiti khasiat setiap bahan. Tidak hairanlah, walaupun nasi menjadi makanan ruji mereka, jumlah kalori keseluruhan setiap hidangan masih rendah dan tidak memberi kesan besar pada berat badan.

4. Gaya hidup yang aktif

Selain daripada apa yang dihidangkan di atas meja, gaya hidup orang Jepun juga memainkan peranan penting. Rutin harian mereka menuntut banyak pergerakan fizikal seperti berjalan kaki ke stesen kereta api atau menaiki tangga.

Mereka juga berbasikal ke pasar atau berjalan kaki membeli barang dapur. Berjalan kaki sehingga 10,000 langkah sehari bukanlah perkara luar biasa bagi rakyat Jepun.

Malah, ramai dalam kalangan warga emas mereka masih aktif berjalan kaki, berkebun atau beriadah di taman walaupun sudah mencecah usia 70 tahun ke atas.

Ini membuktikan bahawa gaya hidup aktif menjadi benteng semula jadi daripada obesiti.

BACA : Ini 6 Kereta Elektrik Bajet Bawah RM150K Berbaloi Dimiliki

5. Kawal mindset dan disiplin makan

Satu lagi rahsia orang Jepun ialah sikap disiplin dan mindfulness ketika makan. Mereka mengamalkan falsafah ‘Hara Hachi Bu’, iaitu berhenti makan apabila perut sudah 80% kenyang.

Budaya makan mereka mendidik setiap individu untuk menghargai makanan, makan perlahan-lahan dan menikmati rasa dengan tenang bukan sekadar mengisi perut hingga terlalu penuh.

Makanan ringan manis atau makanan segera memang ada di Jepun tetapi tidak menjadi tabiat harian seperti di negara kita. Bagi mereka, rasa kenyang bukanlah lesen untuk makan berlebihan, sebaliknya keseimbangan dan kesederhanaan itu lebih utama.

6. Kualiti makanan

Satu lagi kelebihan orang Jepun ialah kualiti makanan yang mereka pilih. Mereka lebih cenderung kepada makanan segar dan kurang diproses, jarang bergantung kepada produk makanan segera yang tinggi gula, garam atau lemak tersembunyi.

Tambahan pula, dalam budaya Jepun, penjagaan kesihatan dianggap sebagai satu tanggungjawab sosial.

Ramai yang sedar bahawa berat badan yang berlebihan bukan hanya soal penampilan tetapi turut melibatkan maruah dan disiplin diri.

Sebab itulah ramai warga Jepun kekal cergas dan berdikari sehingga ke usia tua, bebas daripada penyakit kronik yang sering membelenggu ramai orang di negara lain.

Kesimpulannya, nasi sebenarnya bukan punca utama berat badan naik mendadak. Sebaliknya, rahsia sebenar terletak pada bagaimana kita menguruskan saiz hidangan, menyusun menu berkonsep seimbang dan memilih cara masakan yang lebih sihat.

Selain itu, kita juga perlu mengamalkan gaya hidup aktif dan mendidik diri untuk makan dengan penuh kesedaran.

Jika orang Malaysia dapat mengambil sedikit inspirasi daripada cara hidup orang Jepun ini iaitu makan nasi dalam kuantiti sederhana, pilih lauk rendah lemak, perbanyakkan sayur, rajin bergerak dan amalkan falsafah ‘Hara Hachi Bu’, kita juga boleh menurunkan kadar obesiti.

Dengan cara ini, kita dapat menjaga berat badan dengan lebih sihat dan seimbang. Kita dapat kekal sihat, kurus dan menikmati usia yang panjang dengan kualiti hidup yang lebih baik.

Sumber : kneadtocook, japandev

BACA : 5 Fungsi Dryer Yang Selalu Diabaikan Tapi Sangat Berguna