
Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli hari ini memaklumkan empat keutamaan yang bakal dilaksanakan pada minggu pertama selepas diberi mandat untuk menggalas tanggungjawab menjaga ekonomi negara.
Menerusi ciapan di laman Twitter, Rafizi meluahkan rasa syukur kepada pengguna media sosial yang sering memberi pandangan mengenai politik dan ekonomi.
“Saya mendengar dan mengambil kira semua.
“Ada yang boleh dilaksana segera, ada yang akan disusun segera. Yang penting usaha dan ikhlas,” katanya di Twitter hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menjelaskan tumpuan yang akan dilakukan pada Kementerian Ekonomi selepas genap seminggu bergelar menteri.
“Apa keutamaan minggu pertama, kenali dengan dekat semua pegawai tertinggi Kementerian Ekonomi, mereka pasukan saya dan nadi perbaiki ekonomi.
“Mendalami kedudukan ekonomi sekarang dan unjuran-unjurannya,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau juga mahu menyusun perancangan bagi kementeriannya untuk enam bulan sebagai persiapan menghadapi kemelesetan ekonomi pada 2023.
Sumber: Rafizi Ramli/Twitter