Qatar vs Iran: Separuh Akhir Paling ‘Gila’
Cukup Rasa Pedas, Pahit dan Manis
Lewat malam semalam, berlangsungnya satu lagi perlawanan separuh akhir AFC Asian Cup 2023. Apa yang SK boleh katakan, perlawanan malam tadi antara perlawanan terbaik sepanjang kempen Piala Asia kali ini. Perlawanan yang cukup rasa pedas, pahit dan manisnya. Pedas bila tuan rumah bolos dulu, pahit untuk Iran terima kekalahan seperti ini dan manis untuk seluruh rakyat Qatar.
Perlawanan epik semalam berakhir dengan keputusan 3-2 yang menyaksikan Qatar layak ke perlawanan akhir dua edisi Piala Asia berturut-turut. Pertarungan ini bermula sengit sejak wisel ditiup dan Iran mendahului dengan jaringan separa akrobatik Sardar Azmoun.
AFPQatar tak benarkan Iran gembira terlalu lama, minit ke-17 rembatan Jassem Gaber terkena pemain Iran dan terus menerjah gol menjadikan kedudukan 1-1. Serangan bertali arus dari kedua-dua pasukan berterusan sehingga minit ke-43, Akram Afif menggelecek beberapa pemain Iran sebelum melepaskan rembatan kencang sehingga buat kem Iran terpaku.
Qatar mendahului 2-1 sehingga tamat babak pertama. Drama berterusan sejak masuk babak kedua. VAR mengesan rembatan Saeed Ezatolahi terkena tangan Ahmed Fatehi dalam kotak penalti. Pengadil melihat semula kejadian itu di skrin VAR dan memberikan penali untuk Iran. Ketua pasukan Iran, Alireza tenang menyempurnakan penalti pada minit ke-51. Kedudukan 2-2.
Namun, pada minit ke-82, Amoez Ali yang disangka berada dalam kedudukan off-side menerima bola terus merembat ke gawang Iran dan menjadi gol penutup cerita Iran di Piala Asia kali ini. Paparan VAR juga jelas menunjukkan Amoez berada di kedudukan on-side ketika hantaran dilakukan.
Iran Gagal Tamatkan Kemarau, Qatar Ke Final Dua Kali Berturut-turut
Selesai perlawanan awal pagi tadi, Iran sekaligus gagal menamatkan kemarau Piala Asia apabila kali terakhir memenanginya 47 tahun yang lalu (1976). Iran terpaksa menunggu edisi 2027 di Arab Saudi jika mahu tamatkan penantian yang cukup seksa ini.
Ini pula perlawanan akhir kedua berturut-turut buat Qatar dan lebih manis, kali ini di tanah air sendiri. Edisi yang lalu di UAE, Qatar berjaya menjadi juara buat kali pertama dalam sejarah selepas menewaskan pasukan Jepun dengan keputusan 3-1.
AFPJordan yang tewaskan Korea Selatan di separuh akhir menjadi tembok penghalang terakhir jika Qatar mahu mengekalkan kejuaraan di bumi sendiri. Untuk rekod, hanya Kuwait (edisi 1980) dan Australia (edisi 2015) sahaja yang pernah menjuarai Piala Asia selaku tuan rumah.
Apa yang pasti, trofi Piala Asia akan kekal di rantau Timur Tengah untuk empat tahun lagi sehingga edisi seterusnya pada tahun 2027 di Arab Saudi. Jelas menunjukkan, dominasi negara-negara Timur Tengah di kejohanan tertinggi Asia ini tidak boleh dipandang enteng.
Harimau Malaya juga perlu meningkatkan kualiti permainan untuk terus merapatkan jurang dengan negara-negara gergasi di Asia dan memastikan kita layak ke Piala Asia 2027.
Qatar atau Jordan
Sama ada Qatar mahupun Jordan yang bakal menjulang Piala Asia kali ini, kedua-dua negara bakal melakar satu lagi sejarah baru dalam lembaran bola sepak Asia. Ini kerana, Jordan kali pertama layak ke peringkat akhir dan jika berjaya menjuarainya ia bakal menjadi trofi Piala Asia sulung buat negara itu.
Jika Qatar pula yang memenangi perlawanan akhir nanti, sejarah menjuarai dua edisi berturut-turut dan sejarah menjuarai di tanah air sendiri bakal terlakar. Perjalanan kedua-dua pasukan ini untuk kempen kali ini bukanlah sesuatu yang mudah.
Jordan sekadar menduduki tempat ketiga dalam kumpulan E dan layak ke peringkat 16 terbaik selepas menjadi 4 pasukan di tempat ketiga terbaik. Tewaskan Iraq di pusingan 16 dan menang tipis dengan Tajikistan di suku akhir. Jordan juga kejutkan pasukan ranking ketiga Asia, Korea Selatan di separuh akhir sebelum tempah tiket ke perlawanan akhir.
Lain pula kisahnya dengan Qatar. Mereka berjaya menjuarai kumpulan A dengan mengumpul 9 mata penuh. Tewaskan Palestin 2-1 di pusingan 16 sebelum terpaksa menunggu sehingga penentuan sepakan penalti untuk tewaskan Uzbekistan 3-2 (penentuan penalti). Pasukan ranking no.2 Asia, Iran menjadi tembok yang berjaya dirobohkan di separuh akhir untuk layak ke perlawanan akhir.
Jelas sudah, masing-masing menghadapi cabaran yang luar biasa sebelum menjadi finalis Piala Asia kali ini. Jangan lupa saksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Asia 2023 di saluran Astro Arena dan RTM, sepak mula pada jam 11 malam (waktu Malaysia).