
“Putin Tak Bergurau…”, Joe Biden Beri Amaran, Dunia Benar-benar Berdepan Ancaman Perang Nuklear
Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menegaskan bahawa dunia benar-benar berdepan dengan ancaman “Armagedon” nuklear buat kali pertama sejak Perang Dingin, dipercayai merujuk kepada kenyataan dibuat Presiden Rusia, Vladimir Putin sebelum ini.
Beliau menegaskan, kali terakhir dunia berdepan dengan prospek perang nuklear adalah ketika Amerika dipimpin John F. Kennedy dan juga krisis misil Cuba pada 1962.
”Untuk kali pertama sejak krisis peluru berpandu Cuba, kita (Amerika) mempunyai ancaman langsung daripada penggunaan senjata nuklear. Malah, situasi semasa menunjukkan kita ke arah itu,” kata Biden yang merujuk kepada konflik peluru berpandu yang ditempatkan Kesatuan Soviet di Cuba. Keadaan itu meletakkan Amerika Syarikat ketika itu dibawah ancaman langsung peluru berpandu berkenaan.
Menurutnya lagi, ucapan Putin untuk menggunakan senjata nuklear taktikal dalam operasi ketenteraan khusus di Ukraine bukan satu gurauan.
Putin sebelum ini, ketika mengulas mengenai konflik Rusia-Ukraine berulang kali mengeluarkan kenyataan bahawa dia bersedia menggunakan semua kekuatan ketenteraan yang ada bagi melindungi kepentingan negaranya.
Berdasarkan ucapannya, pakar berpendapat serangan taktikal tersebut mungkin pada skala kecil dan tertumpu pada kawasan terhad, bagaimanapun Biden memberi amaran ia boleh memacu insiden serangan yang lebih besar.
”Putin adalah seorang individu yang sangat saya kenali. Jadi, beliau tidak bergurau apabila berkata mahu menggunakan senjata nuklear ataupun senjata biologi. Ini boleh difahami, kerana tenteranya (yang dihantar ke Ukraine) tidak beraksi dengan baik.
”Mustahil keupayaan untuk menggunakan senjata nuklear taktikal tidak berakhir dengan Armagedon,” katanya.
BACA: Triumph Mengumumkan Evolusi Visi Jenama Globalnya
Sumber: AFP