
Puteri Thailand Bajrakitiyabha Narendira Debyavati telah dimasukkan ke hospital selepas dilaporkan tidak sedarkan diri kerana masalah jantung, menurut kenyataan Biro Rumahtangga Istana Thai.
Lapor CNN, puteri sulung Raja Maha Vajiralongkorn itu diterbangkan ke Bangkok dengan helikopter selepas berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani rawatan di hospital Chulalongkorn.
Kejadian berlaku semasa puteri itu melatih anjingnya untuk kejohanan yang dianjurkan oleh tentera, merujuk laporan tersebut pada Khamis hari ini.
Difahamkan, Puteri Bajrakitiyabha merupakan bekas Duta Thailand Ke Austria dan pernah mengusahakan beberapa projek dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk memperjuangkan hak wanita.
Merujuk laporan media, rakyat Thailand ketika ini sedang giat ‘berdoa’ (berdasarkan pegangan mereka) agar Puteri Bajrakitiyabha kembali sembuh seperti sediakala.

Sumber: CNN