IPOH, 30 Mei – Kerajaan Negeri Perak akan membuka semula Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) sementara bermula awal bulan depan sebagai langkah mengelakkan golongan itu menjadi kluster terbaharu pandemik COVID-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata langkah itu selaras dengan pengumuman Sekatan Pergerakan Penuh fasa pertama di seluruh negara selama 14 hari bermula Selasa ini.
“PPG di Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah, Jalan Kompleks Sukan ini boleh menampung 40 gelandangan dan akan dibuka dengan segera selaras dengan pengumuman kerajaan.
“Proses memujuk golongan gelandangan ke PPG ini akan diketuai Polis Diraja Malaysia Perak bersama beberapa agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Bandaraya Ipoh serta Angkatan Tentera Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas melawat PPG itu hari ini.
Beliau berkata ujian saringan COVID-19 akan dilakukan ke atas golongan gelandangan selain memberi perlindungan dan penjagaan kesihatan lebih baik bagi meningkatkan kualiti hidup mereka serta pelbagai pengisian program yang telah dirancang.
Katanya suntikan vaksin kepada golongan itu juga akan diberikan selepas saringan COVID-19 selesai.
Pada 19 April 2020, kerajaan negeri itu dilaporkan telah membuka PPG di Arena Badminton Perak di sini namun ia kini dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19.
— BERNAMA