Seorang wanita telah ditahan polis bagi membantu siasatan kemalangan terburuk sejarah Tour De France, lapor Daily Mail.
Menurut stesen radio tempatan, wanita itu telah ditahan pagi ini dan berada dalam tahanan polis di Landerneau, Brittany.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada wanita tersebut menyerah diri selepas pihak pendakwaan meminta orang ramai mengesan keberadaannya. Dia kini dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan dan berhadapan saman bernilai 1,500 euro (sekitar RM7,388), lapor portal itu.
Tambah Daily Mail, pihak polis sedang menjalankan siasatan selepas seorang peminat menceroboh trek basikal dengan plakad tertera mesej ditujukan kepada keluarganya, menyebabkan lebih 50 pengayuh terjatuh.
Kemalangan itu telah menyebabkan 21 kecederaan serta mengakibatkan ada antara peserta terpaksa menarik diri.
“Siasatan sedang berjalan dengan baik dan kami harap dapat merungkaikan kejadian ini dalam masa yang munasabah,” kata pendakwa raya, Camille Miansoni.
“Setelah panggilan terhadap saksi dilakukan, beberapa keterangan telah diambil,” katanya, mengakui siasatan mengambil sedikit masa.
Sumber: Daily Mail