Pulau Pinang Tunggu Notis Tuntutan Dari Kedah Sebelum Putus Tubuh Pasukan Guaman
Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan hanya membuat keputusan sama ada untuk menubuhkan pasukan guaman atau sebaliknya selepas menerima notis tuntutan rasmi daripada Kerajaan Negeri Kedah.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Sebelumnya, Muhammad Sanusi memaklumkan bahawa Kedah kini berada dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu kedudukan, nilai pajakan serta hubungan negeri itu dengan Pulau Pinang.
“Adalah menjadi keperluan untuk menerima (Notis Tuntutan) daripada pihak berkenaan bagi mengetahui perkara apa yang mereka mahu (tuntut terlebih dahulu).
“Jika ada sebarang Notis Tuntutan yang diterima, perkara pertama adalah kita akan berbincang dengan Penasihat Undang-Undang serta pasukannya di Pejabat Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri.
“Jika di sana nanti memerlukan penubuhan pasukan guaman, akan diputuskan kelak atas nasihatnya (Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri),” kata beliau kepada pemberita di Komtar, hari ini.
Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata, beliau secara konsisten memberikan jawapan sama sejak beberapa tahun lalu apabila isu ini dibangkitkan oleh Muhammad Sanusi.
“Jawapan saya sama saja (iaitu) jumpa di mahkamah,” katanya ringkas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Terdahulu, pada 10 November lalu, Muhammad Sanusi dilaporkan berkata bahawa Kedah kini berada dalam fasa akhir memuktamadkan pelantikan pasukan guaman bagi memulakan tindakan perundangan berhubung isu kedudukan serta hubungan negeri itu dengan Pulau Pinang.
Beliau turut menjelaskan bahawa langkah itu diambil susulan keprihatinan Sultan Kedah yang menzahirkan keperluan supaya isu berkenaan diperjelas secara telus termasuk perkara berkaitan pajakan.
BACA: Harga RON97, RON95 Tanpa Subsidi & Diesel Naik 5 Sen
Sumber: Buletin Mutiara