PTPTN Santuni Waris Melalui Program Ziarah Kasih Simpan SSPN
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hari ini telah menyantuni waris kepada seorang pendeposit Simpan SSPN Plus, Allahyarhamah Rohaya binti Jaafar menerusi Program Ziarah Kasih Simpan SSPN sebagai tanda keprihatinan dan sokongan PTPTN terhadap keluarga pendeposit yang sedang diuji dengan musibah.
Sesi ziarah dan penyerahan manfaat perlindungan takaful telah diadakan di kediaman waris Allahyarhamah di Gua Musang Kelantan dan disempurnakan oleh YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Turut hadir YBrs. Encik Ahmad Ibadullah bin Samsudin, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (HEM), Sekolah Kebangsaan Chiku 3, YBrs. Encik Azman bin Husain, Penolong Kanan Pentadbiran (PKP), Sekolah Menengah Kebangsaan Chiku 2 dan Encik Hamdan Razali, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Kelantan.
Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim turut mengadakan video call bersama waris Allahyarhamah semasa Program Ziarah Kasih tersebut diadakan.
Allahyarhamah Puan Rohaya binti Jaafar, 42 tahun seorang suri rumah tangga telah kembali ke rahmatullah pada 15 Mei 2025 akibat kemalangan jalan raya. Beliau merupakan pendeposit Simpan Simpan SSPN Plus yang telah membuka akaun untuk tiga (3) orang anak pada 26 Disember 2024.

Beliau telah membuka akaun di bawah Pakej Intan dengan komitmen sebanyak RM30.00 sebulan iaitu RM20.00 untuk simpanan dan RM10.00 untuk caruman takaful.
Melalui caruman takaful RM30.00 sebulan (bagi 3 akaun), beliau sebagai pendeposit Simpan SSPN Plus telah mendapat manfaat perlindungan takaful (kematian akibat kemalangan) sebanyak RM50,000.00 bagi setiap akaun dengan jumlah keseluruhan yang diterima sebanyak RM150,000.00 dan khairat kematian berjumlah RM8,400.00 (RM2,800.00 untuk setiap akaun). Maka jumlah keseluruhan manfaat yang diterima oleh pendeposit adalah sebanyak RM158,400.00.

Ketua Eksekutif PTPTN, YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, “Program Ziarah Kasih Simpan SSPN ini mencerminkan keprihatinan PTPTN terhadap pendeposit dan keluarga mereka. Penyerahan manfaat takaful ini diharap dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit dalam meneruskan kelangsungan hidup serta memberi sedikit kelegaan dalam menghadapi saat kesukaran.”
“Di sebalik peranan Simpan SSPN sebagai simpanan pendidikan, perlindungan takaful yang disediakan juga merupakan satu bentuk jaminan dan sokongan kepada pendeposit serta keluarga yang ditinggalkan. Kami di PTPTN sentiasa komited untuk memastikan kebajikan waris pendeposit terus terpelihara.”

PTPTN mempunyai dua (2) produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat. Keistimewaan Simpan SSPN Prime ialah perlindungan takaful percuma secara Ringgit ke Ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian / ilat kekal menyeluruh kepada mereka.
Selain itu, pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000.00 bagi satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan dijamin Kerajaan.

Produk Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam (6) pakej. Antaranya serendah RM30 sebulan (Pakej Intan) hingga RM500 sebulan (Pakej Berlian) dengan manfaat tambahan seperti manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak maksimum lima (5) orang anak, manfaat takaful penyakit kritikal, elaun kemasukan hospital, perlindungan takaful sehingga umur pendeposit 69 tahun dan manfaat ini tertakluk kepada pakej yang dipilih dan Syarikat Pengendali Takaful yang dipilih oleh pendeposit.
Selain itu, pembukaan akaun Simpan SSPN Plus tidak memerlukan pemeriksaan kesihatan kecuali pakej Berlian, hanya perlu menjawab tiga (3) soalan kesihatan.
Pembukaan dan penambahan akaun Simpan SSPN boleh dibuat melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat. Maklumat lanjut Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my.