program ziarah kasih
Tiada Kategori

PTPTN Santuni Pelajar USM Ringankan Beban Dengan Program Ziarah Kasih

Nurul Naqiyah

PTPTN Santuni Pelajar USM Ringankan Beban Dengan Program Ziarah Kasih

1. Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan komitmennya dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kebajikan pelajar. Program Ziarah Kasih PTPTN merupakan salah satu inisiatif yang diadakan bertujuan untuk menyantuni golongan asnaf terutamanya komuniti pelajar dalam memperkukuhkan hubungan dan menunjukkan keprihatinan terhadap kesejahteraan masyarakat, khususnya mereka yang terkesan akibat cabaran ekonomi dan sosial.

2. Melalui Program Ziarah Kasih, PTPTN telah menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada salah seorang pelajar asnaf Universiti Sains Malaysia (USM) bertempat di kediaman beliau di Penaga, Pulau Pinang. Sesi penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN. Turut hadir YBrs. Encik Muhammad Muhsin bin Abdul Rahman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.

3. Saudara Muhammad Danial bin Hamzah merupakan anak sulung daripada lima (5) orang adik beradik yang dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan dan dihimpit dengan pelbagai rintangan hidup termasuk mempunyai seorang adik Orang Kurang Upaya (OKU) berumur 19 tahun. Selain itu, ibu kepada pelajar ini juga merupakan seorang ibu tunggal yang telah kematian suami pada tahun 2022 akibat masalah jantung. Meskipun begitu, semangat dan dedikasi Muhammad Danial untuk berjaya dalam hidup tidak pernah pudar. Beliau juga merupakan pelajar semester tiga (3), program Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Kepujian) (Biologi Gunaan) USM turut menerima bantuan zakat Negeri Pulau Pinang.

program ziarah kasih
YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (tengah) dan Encik Muhammad Muhsin Abdul Rahman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang (dua dari kanan) menyampaikan replika kad sumbangan Simpan SSPN dan kotak makanan kepada penerima sumbangan

4. Melihat kepada keperluan bantuan yang diperlukan oleh keluarga ini, PTPTN melalui Program Ziarah Kasih telah menyalurkan sumbangan CSR berjumlah RM1,000 dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) kepada saudara Muhammad Danial bagi membantu dan meringankan beban pelajar. Sumbangan ini juga diharap dapat memberi peluang kepada beliau untuk terus fokus kepada pelajaran serta mencapai cita-cita yang diimpikan.

5. Menurut YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN, “Kami berasa terharu dapat membantu saudara Muhammad Danial dalam perjalanan pendidikannya. Ini merupakan bukti komitmen kami untuk menyokong setiap pelajar yang berpotensi dan berbakat dalam hidup. Melalui Program Ziarah Kasih ini, PTPTN dapat memberi sedikit kegembiraan kepada keluarga yang kurang bernasib baik serta memberi semangat kepada pelajar untuk terus berusaha dalam pendidikan mereka.

PTPTN juga berharap agar masyarakat dapat lebih peka terhadap keperluan golongan yang memerlukan disekitar komuniti mereka. PTPTN turut berharap dapat bekerjasama dengan pelbagai pihak agar lebih banyak keluarga dapat dibantu dan mendapat akses kepada pendidikan dan peluang yang lebih baik.”

6. PTPTN sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan terus komited dalam meningkatkan pelaksanaan program-program CSR terutamanya dalam aspek pendidikan demi pembangunan anak bangsa selari dengan moto PTPTN, Peluang Kejayaan Anda dan tagline PTPTN Prihatin : Kami Kongsi, Kami Bantu.