
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai tabung pendidikan tinggi utama negara menyahut semangat kemerdekaan dengan memupuk perancangan kewangan dalam kalangan masyarakat agar merdeka daripada belenggu kesempitan kewangan dengan menyimpan, melunaskan hutang dan menguruskan kewangan dengan baik.
Dalam usaha mengurangkan kebergantungan masyarakat terhadap pinjaman, PTPTN menyediakan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) bagi menggalakkan masyarakat membuat penabungan seawal usia untuk pendidikan tinggi anak-anak.

Simpan SSPN menawarkan pelbagai manfaat dan keistimewaan iaitu pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan secara percuma sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif dan patuh syariah.

Bersempena dengan Program Jelajah Aspirasi Malaysia 2025, PTPTN telah menyampaikan sumbangan dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime kepada 100 orang pelajar yang memerlukan. Sumbangan ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan simpanan pendidikan dari awal usia dan menyokong aspirasi pendidikan tinggi.
Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor, Pulau Pinang. Turut hadir, YBrs. Ts. Nor Hisham bin Abbas, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pulau Pinang (RTM), YBrs. Tuan Mohamad Zawawi bin Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, YBrs. Encik Kamal bin Roslim, Pengarah Bahagian Pemasaran dan Promosi RTM, YBrs. Puan Isma Sharni binti Mohamad Saad, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Gelugor, Puan Wan Zawiah binti Wan Abu Bakar, Pengurus Besar Kanan PTPTN dan Encik Muhammad Muhsin bin Abdul Rahman, Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang.

YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN berkata, “Tema rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 iaitu “Malaysia MADANI: Rakyat Disantuni” menekankan prinsip kerajaan yang mengutamakan kebajikan masyarakat, memastikan setiap individu diberi perhatian dan dihargai dalam semua aspek kehidupan termasuk ekonomi, pendidikan, kesihatan dan keselamatan.
“Frasa “Rakyat Disantuni” turut mencerminkan peranan PTPTN dalam memastikan masyarakat, khususnya pelajar, sentiasa dibantu melalui peluang pendidikan tinggi yang sama rata tanpa mengira latar belakang. PTPTN berbangga dapat menjadi pemangkin kejayaan dengan menyediakan kemudahan pinjaman, skim simpanan pendidikan serta inovasi digital yang memudahkan urusan selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI untuk membina masa depan yang lebih cerah dan inklusif,” tambah beliau lagi.

Selain membudayakan amalan penabungan sejak awal usia, PTPTN turut berusaha meningkatkan budaya membayar balik pinjaman bagi menjamin kelestarian dana pendidikan tinggi. Justeru, PTPTN mempermudahkan tanggungjawab membayar balik pinjaman dengan menawarkan kemudahan penstrukturan semula pinjaman. Melalui inisiatif ini, PTPTN memberi ruang kepada peminjam untuk berunding dengan menyediakan pelan pembayaran fleksibel mengikut kemampuan kewangan peminjam. PTPTN sentiasa membuka peluang kepada semua peminjam yang mempunyai masalah untuk datang berunding dengan PTPTN melalui #PTPTNBolehBincang.

Bagi memperkukuh kesedaran bayaran balik pinjaman, PTPTN dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut menghasilkan lagu berjudul “Demi Generasi Ku”. Pendekatan kreatif ini bertujuan meningkatkan pemahaman, kebersamaan dan semangat bertanggungjawab dalam melaksanakan bayaran balik pinjaman pendidikan.

Melalui pelbagai inisiatif ini, PTPTN terus melangkah seiring dengan aspirasi negara dalam memperkukuh akses pendidikan tinggi. Seiring dengan sambutan Bulan Kemerdekaan yang ke-68 tahun, PTPTN menyeru seluruh masyarakat Malaysia untuk bersama-sama memerdekakan generasi masa depan dengan menggalakkan budaya menabung sejak awal usia serta memupuk rasa tanggungjawab membayar balik pinjaman demi kelestarian dana pendidikan tinggi negara.