PTPTN Hargai Komitmen Kerajaan Perluaskan Biasiswa Anak eKASIH PTPTN Kepada 10,000 Pelajar Miskin Tegar
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik dan merakamkan penghargaan serta terima kasih atas pengumuman oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri berhubung pelaksaaan inisiatif di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.
Pengumuman ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan MADANI dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi yang inklusif, saksama dan berkualiti dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, khususnya golongan miskin tegar yang berdepan dengan kekangan kewangan dan cabaran sosioekonomi.
Terdahulu dalam pembentangan Belanjawan 2026 pada 10 Oktober 2025, YAB Perdana Menteri telah mengumumkan inisiatif biasiswa/pendidikan percuma PTPTN melibatkan 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dengan peruntukan RM120 juta setahun.
Menerusi pengumuman terkini di bawah RPTM 2026-2035, jumlah penerima inisiatif biasiswa/pendidikan percuma PTPTN ini telah ditingkatkan kepada 10,000 orang pelajar daripada keluarga miskin tegar dalam data e-Kasih.
Pengerusi PTPTN, YBhg. Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim berkata, “Peningkatan hampir dua kali ganda bilangan penerima manfaat ini diyakini mampu memberi peluang pendidikan kepada anak-anak daripada keluarga miskin tegar untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
"Langkah ini sekali gus memutuskan rantaian kemiskinan melalui pendidikan sebagai pemangkin utama mobiliti sosial dan pembangunan modal insan negara.” katanya.
Sehubungan itu, PTPTN menyokong sepenuhnya dan amat menghargai pelaksanaan dasar serta inisiatif yang diumumkan serta komited untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan manfaat yang dirancang dapat disampaikan secara berkesan dan menyeluruh kepada golongan sasar.
PTPTN turut optimis bahawa inisiatif ini akan terus memperkasakan ekosistem pendidikan negara demi masa depan Malaysia yang lebih mampan dan sejahtera.