Proton Xchange: Syarat Kelayakan & Cara Tukar Kereta Lama
Baru-baru ini, syarikat automotif tempatan, PROTON telah melancarkan satu inisiatif penukaran kereta lama kepada kereta baharu dengan kerjasama pelbagai pihak, termasuk Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Inisiatif PROTON Xchange ini menggalakkan pemilik kenderaan lama menukar kenderaan mereka kepada kenderaan yang lebih selamat. Program ini juga bertujuan memastikan pelupusan kenderaan lama dijalankan dengan selamat selain mempromosi kenderaan yang lebih mesra alam.
Terbuka kepada semua pemilik kenderaan tanpa mengira jenama, inisiatif ini bakal berlangsung sehingga akhir tahun 2025.
Kelebihan sertai PROTON Xchange
Mereka yang menyertai inisiatif ini bakal menerima sokongan dagangan lebihan (overtrade) daripada pihak PROTON sebanyak RM2,000. Overtrade ini turut tidak terkecuali bagi pembelian model Proton e.MAS 7.
Bukan setakat itu sahaja, pihak kementerian turut menawarkan pengecualian cukai jalan bagi tahun pertama terhadap kenderaan baharu yang dimiliki menerusi inisiatif ini.
Tanpa berlengah lagi, mari ikuti syarat yang perlu anda penuhi bagi memastikan kenderaan anda layak menyertai inisiatif ini. SK turut kongsikan ringkasan cara untuk anda turut serta dalam inisiatif Proton Xchange.
Kelayakan tukar kereta Proton Xchange
Bagi memastikan kenderaan anda layak dihantar menyertai insiatif PROTON Xchange, usia kenderaan mesti 15 tahun ke atas dan keadaan kenderaan anda dianggap tidak ekonomik untuk dibaiki bagi kegunaan yang selamat.
Tidak terhad kepada kereta jenis sedan, PROTON turut menerima kenderaan MPV, van, 4×4, lori dan bas.
Anda juga perlu menunjukkan bukti pemilikan kenderaan contohnya Sijil Pemilikan Kenderaan. Namun, nama anda tidak semestinya didaftarkan sebagai pemilik asal kenderaan. Kenderaan tersebut turut dikira layak jika didaftarkan atas nama waris pemilik lama.
Seperti yang telah dinyatakan di atas, anda mesti mendaftarkan kereta Proton baharu anda sebelum berakhirnya bulan Disember 2025.
Cara tukar kereta lama kepada kereta baharu
Sebelum kita lihat cara-cara tukar kenderaan lama anda, penting untuk anda tahu inisitatif ini dijalankan dengan kerjasama pusat rawatan automotif yang diluluskan (AATF), Car Medic Sdn Bhd. Fasiliti ini diperakui oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan dilantik oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pastikan anda berurusan dengan pegawai syarikat berkenaan dan bukan penyamar.
Mari kita ikuti cara menukar kenderaan menerusi inisiatif PROTON Xchange di bawah.
Pertama sekali, anda perlu sediakan Sijil Pemilikan Kenderaan (VOC) untuk kenderaan Proton baharu anda. Kemudian, isi borang JPJK1KD sebagai bukti pembatalan pendaftaran kenderaan lama anda oleh JPJ.
Setelah itu, anda perlu dapatkan Sijil Pemusnahan daripada syarikat Car Medic.
Untuk pengetahuan anda, Car Medic turut menyediakan perkhidmatan e-Dereg. Perkhidmatan ini bukan sahaja berkaitan pemeriksaan dan pembatalan pendaftaran kenderaan, tetapi turut menawarkan khidmat menunda kenderaan dari pintu ke pintu atau mana-mana fasiliti pemilik.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Proton (1) (2)
BACA: Rupanya Bukan Gimik, Nana Dedah Apa Ada Dalam Bagasi Peserta AF
BACA: Fasih Bahasa Rusia, Anggota ATM Santai Borak Dengan Juruterbang Russian Knight