PROTON e.MAS 7 5 Bintang
Gambar: ASEAN NCAP
Tiada Kategori

PROTON e.MAS 7 Catat Penarafan 5 Bintang ASEAN NCAP

Hannah

PROTON e.MAS 7 Catat Penarafan 5 Bintang ASEAN NCAP

Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) hari ini mengumumkan keputusan penilaian terakhir bagi tahun 2024.

Dalam penilaian tersebut, ASEAN NCAP turut menilai sebuah kenderaan elektrik jenis SUV, PROTON e.MAS 7, yang dilancarkan secara rasmi baru-baru ini.

Model elektrik pertama keluaran PROTON ini berjaya mencatatkan penarafan 5 bintang dengan jumlah markah keseluruhan sebanyak 92.57 mata.

Keputusan tersebut terbahagi kepada beberapa kategori, iaitu 39.00 mata untuk Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), 17.32 mata dalam Perlindungan Penumpang Kanak-Kanak (COP), 20.00 mata untuk Bantuan Keselamatan (SA) dan 16.25 mata dalam kategori Keselamatan Penunggang Motosikal (MS).

BACA: PROTON Lancarkan e.MAS 7, EV Sulung Malaysia

PROTON e.MAS 7 hadir dengan pelbagai ciri keselamatan canggih sebagai standard.

Antaranya ialah enam (6) beg udara, Sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), serta Sistem Peringatan Tali Pinggang Keledar (SBR) untuk penumpang hadapan dan belakang dengan pengesanan kehadiran penumpang.

Bukan itu sahaja, SUV ini turut dilengkapi dengan teknologi keselamatan aktif seperti Autonomous Emergency Braking (AEB) untuk bandar dan kawasan luar bandar, Blind Spot Detection (BSD) di kedua-dua sisi kenderaan, Automatic High Beam (AHB) serta Pelindungan Pejalan Kaki (PP).

Selain itu, ciri tambahan lainnya termasuklah Forward Collision Warning (FCW), Lane Keep Assist (LKA), Lane Departure Warning (LDW), Rear Cross Traffic Alert dan Rear Cross Traffic Braking (RCTB).

BACA: Honda, Nissan Dilapor Mula Bincang Untuk ‘Bersatu’

Dalam ujian keselamatan pasif, PROTON e.MAS 7 memberikan perlindungan yang sangat baik kepada dummy ujian, khususnya di bahagian hadapan.

Bahagian kaki bawah pemandu menerima perlindungan yang mencukupi, manakala perlindungan keseluruhan penumpang kanak-kanak dan penunggang motosikal juga mencatat keputusan yang memberangsangkan.

Kenderaan ini menunjukkan prestasi cemerlang dalam kesemua item yang dinilai di bawah kategori Bantuan Keselamatan (SA), menjadikannya model dengan skor tertinggi dalam kategori tersebut.

Semua ciri keselamatan aktif yang dinilai oleh ASEAN NCAP hadir sebagai standard di semua varian PROTON e.MAS 7 di pasaran ASEAN.

Maklumat lanjut mengenai prestasi keselamatan pasif dan aktif model ini boleh didapati melalui laporan keputusan di laman web rasmi ASEAN NCAP.

BACA: Delta Works: Benteng Banjir Terbesar Dunia

ASEAN NCAP memuji PROTON kerana memastikan keselamatan tidak dikompromi dalam reka bentuk dan pengeluaran e.MAS 7.

Dengan peningkatan minat pengguna terhadap kenderaan elektrik (EV), PROTON telah mengambil langkah signifikan untuk menyediakan struktur yang kukuh serta sistem keselamatan yang memenuhi piawaian tinggi.

Pencapaian ini membuktikan komitmen PROTON dalam menyediakan kenderaan yang selamat dan berkualiti tinggi kepada pengguna di rantau ASEAN.

Dalam pada itu, ASEAN NCAP turut mengucapkan tahniah kepada PROTON e.MAS 7 atas kejayaan luar biasa ini, yang diharapkan akan terus menjadi penanda aras dalam industri automotif.

Untuk info, Protokol Penilaian ASEAN NCAP 2021–2025 merangkumi empat domain utama penilaian, iaitu, AOP (40.00 mata), COP (20.00 mata), SA (20.00 mata) dan MS (20.00 mata).

Sumber: ASEAN NCAP