KUALA LUMPUR, 1 Jan – Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Malaysia – Singapura (HSR) telah ditamatkan setelah perjanjian projek berakhir pada 31 Dis semalam.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan tersebut adalah antara beberapa perubahan yang dilakukan kerajaan berikutan impak pandemik COVID-19 yang dihadapi negara ketika ini.
“Kedua-dua kerajaan telah menjalankan beberapa perbincangan terhadap perubahan ini dan ianya tidak mencapai persetujuan.
“Justeru, Perjanjian HSR ini telah ditamatkan semalam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Malaysia dan Singapura akan memenuhi tanggungjawab masing-masing dan bertindak mengikut keperluan yang sepatutnya ekoran penamatan perjanjian tersebut.
“Kedua-dua negara ini tetap komited untuk menjaga hubungan dua hala yang baik dan bekerjasama erat dalam pelbagai bidang, termasuklah memperkukuhkan hubungan antara kedua-dua negara,” tambah kenyataan itu lagi.
Mengimbas kembali, Malaysia menandatangani Perjanjian Bilateral HSR bersama Singapura dalam satu pemeteraian dalam sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia – Singapura Ketujuh di Putrajaya pada 13 Disember 2016.
Sumber: Pejabat Perdana Menteri