Program Semarak@Muzium Matang Pupuk Kesedaran Kepelbagaian Warisan Sejarah Dan Budaya
Matang, 14 September 2024 – Jabatan Muzium Malaysia menerusi Muzium Matang telah menganjurkan Majlis Perasmian Program Semarak@Muzium Matang yang telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malasyia pada 14 September 2024 di Muzium Matang, Matang, Kota Ngah Ibrahim, Perak.
Program Semarak@Muzium Matang merupakan program permuziuman berteraskan warisan seni dan budaya yang berkonsepkan ‘karnival’ atau ‘fiesta’ yang mensasarkan penyertaan seluruh masyarakat dari pelbagai latar belakang budaya dan kaum.
Melalui program ini dapat memupuk pemahaman dan kesedaran masyarakat terhadap kepelbagaian warisan sejarah dan budaya yang perlu dihargai dan dipertahankan sebagai identiti nasional yang diwarisi bersama.
Muzium Matang asalnya adalah sebuah kompleks yang dibina oleh Che Ngah Ibrahim, Orang Kaya Menteri Paduka Tuan pada tahun 1858. Lokasi ini juga turut menjadi rumah kediaman rasmi beliau dan beliau telah memainkan banyak peranan penting dalam memajukan negeri Perak pada ketika itu.

Sebelum ditukarkan fungsinya kepada Muzium Matang pada tahun 1985, bangunan ini pernah digunakan oleh banyak pihak seperti Maktab Perguruan Melayu Matang (1913 – 1922), Sekolah Melayu (19-23 – 1941), Markas Pertahanan Tentera Jepun (1942 – 1945), Sekolah Melayu dan Sekolah Kebangsaan Matang, Kelas Tambahan Sekolah Kebangsaan Matang (Darjah 5 dan 6), Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (sebelah petang), kelas KEMAS dua kali seminggu dan sekali-sekala menjadi tempat mesyuarat atau perhimpunan penduduk kampung pada tahun 1983-1985.
Program Semarak@Muzium Matang 2024 turut melibatkan penglibatan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dari beberapa daerah untuk turut serta memeriahkan program ini.

Pelbagai acara menarik, antaranya seperti reruai agensi kerajaan dan swasta, demonstrasi dan jualan makanan tradisi, persembahan kesenian, senam sihat, tayangan wayang pacak, fun walk, jualan rahmah, kempen derma darah, pertandingan tarian tradisional, pertandingan nyayian, pertandingan sukan rakyat, persembahan artis jemputan dan pelbagai acara menarik yang lain.

Majlis perasmian ini turut dihadiri oleh YBrs. Encik Mohd Razaimi bin Hamat, Timbalan Ketua Pengarah (Permuziuman), Jabatan Muzium Malaysia dan ASP Shabani bin Bahari, Ketua MPV IPD Taiping.