Putrajaya : Program Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Pulang Ke Negara Asal (Program Back For Good) akan dilaksanakan mulai 1 Ogos ini bagi memberi peluang kepada warga asing yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) pulang secara sukarela.
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pendatang asing yang melakukan kesalahan seperti tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, dibenarkan pulang dengan beberapa syarat tertentu melalui program yang akan berlangsung sehingga 31 Disember.
“Bayaran kompaun sebanyak RM700 akan dikenakan kepada warga asing yang ingin turut serta dalam program ini,” katanya pada sidang media mengenai pelaksanaan program itu di sini hari ini.
Warga asing terlibat dikehendaki membawa dokumen perjalanan yang sah seperti pasport dan sijil perjalanan kecemasan serta tiket untuk pulang ke negara asal dalam tempoh tujuh hari, katanya.
“Program yang melibatkan Semenanjung Malaysia sahaja ini dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Imigresen tanpa penglibatan pihak ketiga iaitu vendor atau ejen,” katanya.
Muhyiddin berkata Jabatan Imigresen akan menyediakan 80 kaunter dengan 200 petugas di semua pejabatnya di seluruh negara untuk menjayakan inisiatif tersebut.
Menurutnya, sesi taklimat kepada kedutaan asing dan pejabat pesuruhjaya tinggi asing telah dilakukan pada 12 Julai lepas bagi memastikan pihak berkenaan dapat mengeluarkan dokumen perjalanan kepada rakyat masing-masing untuk menyertai program itu.
Muhyiddin berkata PATI atau majikan yang ingkar akan dikenakan tindakan undang-undang dan mereka yang berkenaan akan diburu melalui operasi penguatkuasan khas sejurus tempoh ‘pengampunan’ berakhir.
“Kita tidak pasti jumlah sebenar PATI yang ada di negara ini tetapi kita harap 300,000 hingga 400,000 daripada mereka akan mengambil peluang daripada kesempatan yang diberikan,” katanya.
Ditanya sama ada kerajaan akan menyenarai hitam warga asing yang menyertai program itu daripada masuk semula ke negara ini, Muhyiddin berkata ia antara perkara yang akan dilakukan.
“Ada yang kata larang untuk lima tahun tapi kalau mereka telah melakukan kesalahan dalam tempoh lama di negara ini, bermakna mereka tidak boleh dibenarkan berada lagi di negara ini,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata Jabatan Imigresen telah membuat laporan polis berhubung pendedahan Jabatan Audit Negara berlakunya manipulasi dan penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs).
Selain itu, katanya, tender terbuka untuk membangunkan sistem baharu yang lebih komprehensif bagi menggantikan MyIMMs juga telah dibuka untuk dibida pihak yang berminat.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin meminta Wan Ji Wan Hussin membuat laporan polis sekiranya penceramah bebas itu merasakan perlu pembelaan atas dakwaannya dipukul warden semasa di dalam penjara.
Melalui laporan itu, katanya polis boleh menjalankan siasatan sama ada dakwaan tersebut berasas atau sebaliknya.
Wan Ji, 37, dilaporkan mendakwa dipukul oleh seorang warden penjara ketika ditahan di Penjara Kajang selepas dimasukkan ke situ pada 9 Julai lepas.
Sumber : Bernama