Profesionalisme, Akauntabiliti & Integriti Teras Kepercayaan Rakyat Terhadap Tentera Darat - PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kepercayaan rakyat terhadap institusi pertahanan negara tidak boleh dibina melalui slogan semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu diperkukuh dengan profesionalisme, akauntabiliti dan integriti yang tegas serta konsisten dalam setiap lapisan pentadbiran dan operasi.
Menurut Anwar, Tentera Darat memainkan peranan strategik sebagai benteng pertahanan negara serta sandaran harapan seluruh rakyat dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan Malaysia terus terpelihara.
Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat yang baharu, Jeneral Dato’ Azhan Md Othman, di Putrajaya hari ini.

Tiada kompromi terhadap pelanggaran amanah
Dalam menghadapi cabaran semasa, termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah yang boleh mencalar imej institusi pertahanan, Anwar menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran amanah.
Beliau menuntut ketelusan, kejujuran serta keberanian untuk membanteras sebarang kelemahan demi memelihara maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa Kerajaan MADANI akan terus mendukung usaha Tentera Darat untuk kekal sebagai pasukan yang berwibawa, profesional dan disegani di peringkat nasional serta antarabangsa.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa kebajikan pegawai, anggota, keluarga mereka serta para veteran tentera akan terus diberi perhatian sewajarnya sebagai penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan mereka kepada negara.