Princess of Wales, Kate Middleton Sahkan Hidap Kanser
Gambar: AFP

Princess of Wales, Kate Middleton Sahkan Hidap Kanser

Hannah

Princess of Wales, Kate Middleton Sahkan Hidap Kanser

Kate Middleton yang juga Princess of Wales mengesahkan beliau kini sedang menghidap penyakit kanser.

Beliau memaklumkan perkara tersebut menerusi satu mesej video yang didedahkan kepada umum pada Jumaat.

Menurut Fox News, Kate memberitahu dia didiagnosis dengan penyakit itu selepas menjalani pembedahan perut yang dijalankan pada Januari lepas.

Ketika ini, beliau sedang menjalani rawatan kemoterapi pencegahan kanser berkenaan.

Kate Middleton dedah sedang menderita kanser

“Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih, secara peribadi, atas semua sokongan anda semua dan memberi ruang untuk saya pulih daripada pembedahan.

“Beberapa bulan yang lepas adalah tempoh yang sangat sukar untuk keluarga saya. Tetapi, saya memiliki pasukan perubatan yang sangat hebat yang merawat saya dengan sangat baik. Saya bersyukur dengan perkara tersebut,” katanya.

Menurut Kate lagi, selepas selesai menjalani pembedahan perut, mereka beranggapan masalah yang dihadapinya tidak mempunyai kaitan dengan kanser.

Bagaimanapun, ujian kesihatan yang diambilnya selepas itu berjaya mengesan kehadiran sel kanser. Pasukan perubatan kemudian menyarankan Kate agar segera menjalani kemoterapi.

Perlukan masa untuk terangkan semua

“Apa yang berlaku, sudah tentu amat mengejutkan saya dan William. Saya cuba sedaya upaya untuk menguruskan apa yang berlaku secara rahsia untuk melindungi keluarga kami.

“Seperti yang anda semua sedia maklum, perkara ini memerlukan masa. Saya memerlukan masa untuk pulih daripada pembedahan sebelum dapat memulakan sesi kemoterapi.

“Namun yang paling penting, kami memerlukan masa yang lama untuk menerangkan apa yang berlaku kepada anak-anak kami, George, Charlotte dan Louis, dalam cara yang sesuai dan sepadan dengan usia mereka,” katanya.

Jurucakap Istana Kensington, berkata, Kate akan kembali menjalankan tugasnya selepas mendapat kebenaran daripada pasukan perubatan yang merawat beliau.

Kate juga dimaklumkan berada dalam keadaan baik dan kini memberi fokus sepenuhnya kepada pelan pemulihan yang dirangka untuk beliau.

Buat masa ini, Kate meminta diberikan ruang untuk beliau menjalani rawatan agar dapat kembali pulih seperti sedia kala.

BACA: Datuk Khadijah Bagi Vibes Lagu Raya 70an Dalam Syukurnya Raya Vit’s Kan Ada

Sumber: Fox News