PUTRAJAYA, 9 FEBRUARI 2022 – Jualan Perdagangan Borong & Runcit Malaysia merekodkan RM120.5 bilion pada Disember dengan suku tahun keempat 2021 mencatatkan RM354.3 bilion. Sepanjang tahun 2021, jumlah jualan ialah RM1.3 trilion. Ini dilaporkan oleh DOSM pada hari ini dalam penerbitan PRESTASI PERDAGANGAN BORONG & RUNCIT, DISEMBER 2021. Laporan ini juga memaparkan statistik nilai jualan dan indeks volum bagi Perdagangan Borong & Runcit mengikut subsektor.
Dalam satu kenyataan pada hari ini, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin, Ketua Perangkawan Malaysia berkata, “Peningkatan 3.5 peratus bagi Perdagangan Borong & Runcit pada Disember disumbangkan oleh subsektor Perdagangan Runcit yang mencatatkan pertumbuhan positif dengan peningkatan sebanyak
RM3.0 bilion atau 3.5 peratus kepada RM48.5 bilion. Perdagangan Borong juga berkembang dengan 4.1 peratus atau RM2.3 bilion kepada RM57.6 bilion. Dalam tempoh yang sama, Kenderaan Bermotor meningkat 1.5 peratus atau RM0.2 bilion kepada RM14.5 bilion. Untuk perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan Perdagangan Borong & Runcit meningkat 2.5 peratus, disokong oleh pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi termasuk perjalanan rentas negeri. Berbanding Disember 2019 iaitu sebelum pandemik COVID-19, Perdagangan Borong & Runcit meningkat 4.1 peratus.”
Beralih kepada prestasi mengikut subsektor, Ketua Perangkawan memaklumkan, “Pertumbuhan subsektor Perdagangan Runcit sebanyak 3.5 peratus pada Disember 2021 disokong oleh Jualan Runcit di Kedai Bukan Pengkhususan yang meningkat 6.0 peratus atau RM1.6 bilion kepada RM18.0 bilion. Kumpulan lain dalam subsektor ini turut mencatatkan pertumbuhan positif iaitu Jualan Runcit Bahan Api Kenderaan 11.1 peratus, Jualan Runcit Makanan, Minuman & Tembakau 6.4 peratus, Jualan Runcit Barangan Isi Rumah 2.4 peratus, Jualan Runcit Bukan di Kedai, Gerai atau Pasar 27.5 peratus, Jualan Runcit Barangan Kesenian & Rekreasi 1.5 peratus, Jualan Runcit Kelengkapan Informasi & Komunikasi 0.7 peratus, dan Jualan Runcit di Gerai & Pasar 8.5 peratus. Bagaimanapun, Jualan Runcit di Kedai Khusus kekal negatif untuk mencatatkan -3.1 peratus. Bagi perbandingan bulanan, nilai jualan subsektor ini meningkat 1.3 peratus.”
Mengulas lebih lanjut mengenai subsektor Perdagangan Borong, kenaikan 4.1 peratus disumbangkan oleh Jualan Borong Makanan, Minuman & Tembakau yang mencatatkan peningkatan sebanyak RM0.9 bilion atau 8.1 peratus kepada RM11.5 bilion. Ini diikuti oleh Jualan Borong Bahan Mentah Pertanian & Haiwan Hidup dengan 14.7 peratus untuk merekodkan RM4.7 bilion. Lain-lain Pengkhususan Jualan Borong turut meningkat 2.3 peratus kepada RM22.5 bilion. Bagi perbandingan dengan bulan sebelumnya, Perdagangan Borong meningkat
2.2 peratus disumbangkan oleh Jualan Borong Barangan Isi Rumah dengan peningkatan sebanyak 4.4 peratus.
Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin turut menerangkan, “Pertumbuhan 1.5 peratus dalam subsektor Kenderaan Bermotor bulan ini disumbangkan oleh Jualan Alat Ganti & Aksesori Kenderaan Bermotor yang melonjak 11.7 peratus atau RM0.4 bilion kepada RM3.5 bilion. Ini diikuti oleh Penyelenggaraan & Pembaikan Kenderaan Bermotor dan Jualan, Penyelenggaraan & Pembaikan Motosikal masing-masing sebanyak 9.8 peratus dan 5.6 peratus. Walau bagaimanapun, Jualan Kenderaan Bermotor merosot -4.5 peratus pada Disember 2021. Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor ini meningkat 8.2 peratus yang disumbangkan oleh Jualan Alat Ganti & Aksesori Kenderaan Bermotor yang bertumbuh 15.2 peratus.”
Mengulas lanjut prestasi suku tahunan, peningkatan 5.1 peratus pada suku tahun keempat pada tahun ini bagi Perdagangan Borong & Runcit adalah didorong oleh subsektor Perdagangan Borong yang berkembang RM8.2 bilion atau 5.1 peratus kepada RM169.7 bilion. Ini diikuti oleh Perdagangan Runcit yang meningkat 5.0 peratus atau RM6.7 bilion untuk merekodkan RM142.6 bilion. Subsektor Kenderaan Bermotor juga meningkat 5.3 peratus atau RM2.1 bilion untuk mencapai RM42.0 bilion pada suku tahun ini. Bagi perbandingan suku tahun ke suku tahun, sektor ini melonjak 17.8 peratus. Bagi prestasi berbanding suku tahun yang sama pada tahun 2019, sektor ini bertumbuh 4.6 peratus.
Ketua Perangkawan turut memaklumkan,“Perdagangan Borong & Runcit mengakhiri tahun 2021 dengan pertumbuhan 4.0 peratus, berjumlah RM1.3 trilion, disumbangkan oleh Perdagangan Borong dengan peningkatan RM38.4 bilion atau 6.4 peratus untuk mencapai RM641.8 bilion. Ini diikuti oleh Perdagangan Runcit yang berkembang sebanyak 4.4 peratus kepada RM533.6 bilion. Walau bagaimanapun, subsektor Kenderaan Bermotor merekodkan nilai jualan lebih
rendah berbanding 2020, merosot -8.2 peratus kepada RM124.0 bilion. Bagi perbandingan pra-pandemik, sektor ini masih di bawah paras nilai 2019 dengan pertumbuhan -2.0 peratus.”
Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin seterusnya memaklumkan, “Indeks jualan runcit melalui internet pada Disember 2021 merekodkan pertumbuhan 20.7 peratus tahun ke tahun (November 2021: 21.0 peratus). Bagi pelarasan musim, indeks ini meningkat 3.0 peratus berbanding bulan sebelum. Bagi suku tahun keempat, ia meningkat 20.8 peratus tahun ke tahun manakala, peningkatan tahunan pula sebanyak 18.1 peratus.”
Bagi indeks volum, Perdagangan Borong & Runcit pada Disember 2021 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 0.6 peratus. Ketua Perangkawan turut memaklumkan bahawa pengembangan itu disumbangkan oleh Kenderaan Bermotor yang meningkat 1.4 peratus. Perdagangan Borong & Perdagangan Runcit juga merekodkan pertumbuhan positif dengan peningkatan marginal masing-masing 0.5 peratus. Walau bagaimapun, indeks volum pelarasan musim jatuh -0.4 peratus bulan ke bulan.
Jabatan Perangkaan Malaysia sedang menjalankan Survei Pendapatan, Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES/BA) 2022 bermula dari 1 Januari 2022 sehingga 31 Disember 2022. Jabatan ini amat menghargai kerjasama daripada responden yang terpilih untuk memberikan maklumat kepada pegawai DOSM serta menjayakan survei ini. Sila layari www.dosm.gov.my untuk maklumat lanjut.
Carta 1: Nilai Jualan Perdagangan Borong & Runcit, (RM Bilion)

Carta 2: Indeks Jualan Runcit Melalui Internet

Carta 3: Perdagangan Borong & Runcit Tahun 2021 Berbanding 2019 (Pra-Pandemik)

Nota.
Tahun 2019 digunakan sebagai tahun asas yang merujuk kepada tempoh pra-pandemik yang bersamaan dengan 100.0
Indeks di atas paras 100.0 bermakna prestasi subsektor adalah lebih baik berbanding 2019 iii. Indeks di bawah paras 100.0 bermakna prestasi subsektor kurang baik berbanding 2019