pembedahan siaran langsung pertama
Kredit: CelcomDIgi

PPUM & CelcomDigi Buat Pembedahan ENT Secara Langsung Rentas Negara, Antara Pertama Di Dunia

Azizah Najib

PPUM & CelcomDigi Buat Pembedahan ENT Secara Langsung Rentas Negara, Antara Pertama Di Dunia

Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan kerjasama syarikat penyedia CelcomDigi Berhad (CelcomDigi) antara institusi terawal berjaya menjalankan pembedahan ENT (telinga, hidung dan tekak) secara langsung melibatkan pelbagai negara.

Pembedahan yang menggunakan teknologi 5G, kecerdasan buatan (AI) dan realiti lanjutan (XR) itu dijalankan pada 11 Disember lalu.

Diketuai oleh Pengarah PPUM, Profesor Dr Mohd Zulkiflee yang juga merupakan Pakar Otorinolaringologi dan Pakar Bedah Kepala dan Leher bersama Pensyarah Kanan dan Pakar Klinikal ENT, Dr Julius Goh Liang Chye, pembedahan ini disiarkan secara langsung kepada pelajar bidang perubatan dan pakar antarabangsa dari beberapa institusi di Amerika Syarikat.

Antara institusi yang terlibat termasuk Harvard Medical School, Mayo Clinic and Vanderbilt University Medical Centre. Begitu juga pakar dari segenap Asia, antaranya dari Korea Selatan, Bhutan, Filipina, Indonesia, Thailand dan Singapura.

Kesemua institusi ini dihubungkan dengan dewan bedah di PPUM menerusi platform dikuasakan AI iaitu HoloMedicine® Robotics XR yang dibawa oleh apoQlar.

Siaran langsung dengan visual definisi tinggi itu berjalan lancar, dikuasakan oleh perkhidmatan rangkaian 5G dengan kependaman ultra rendah CelcomDigi.

Ia sekali gus membolehkan peserta membuat pemerhatian terhadap langkah-langkah pembedahan kritikal yang disiarkan dengan tahap ketepatan dan kejelasan yang tinggi.

Pembedahan siaran langsung buka lebih banyak peluang

Perkara ini turut membenarkan penyeliaan jarak jauh secara masa nyata dan menerima maklum balas klinikal dua hala secara langsung.

Menurut Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi, T. Kugan, pembedahan bersejarah tersebut membuktikan keupayaan Malaysia menerajui rantau ini dalam inovasi penjagaan kesihatan digital.

“Inovasi dan ketersambungan 5G membolehkan aplikasi masa nyata kritikal berfungsi mengubah kehidupan.

“Dengan menggabungkan kependaman ultra rendah rangkaian 5G dengan AI dan HoloMedicine® yang dikuasakan dengan XR, kita membuka peluang kepada pakar bedah, pengajar dan pelajar dari pelbagai negara bekerjasama seolah-olah berada di dalam bilik pembedahan yang sama.

“Sebagai peneraju perkhidmatan 5G di Malaysia, kami berbesar hati untuk menyokong PPUM dalam merealisasikan aspirasi negara sebagai pusat kecemerlangan perubatan serantau,” jelasnya lanjut.

Profesor Dr Mohd Zulkiflee turut menyifatkan pembedahan siaran langsung ini menjadi menandakan satu langkah besar pada masa hadapan dalam kaedah melatih bakal pakar bedah serta perkongsian kepakaran khusus.

“Menerusi teknologi masa nyata XR yang imersif, pengamal perubatan dan pelajar kita dapat turut serta dalam prosedur pembedahan menjangkaui batasan fizikal.

“Kerjasama kami bersama CelcomDigi memberi peluang kepada kita untuk mencipta peluang baharu dalam kerjasama antara sempadan. Begitu juga dalam melebarkan kebolehcapaian latihan pakar serta menambah baik kemampuan penjagaan pesakit,” ujar beliau.

Sementara itu, PPUM merancang untuk mengadakan siri siaran langsung demonstrasi pembedahan dalam masa terdekat termasuk pembedahan urologi, pembedahan kolorektal dan kes-kes tambahan ENT.

BACA: Di Sebalik Tabir: Realiti Bapa “Sporting” Jadi Inspirasi Watak Papa Zola

BACA: Buang Sampah Di Tempat Awam Bakal Berdepan Hukuman Khidmat Masyarakat

Sumber: CelcomDigi