Semalam, tular satu video berkenaan sebuah kereta Perodua Bezza yang telah memotong secara berbahaya dari sebelah kiri dipercayai dekat simpang Lebuh Puncak Jelapang, Perak.
Susulan itu, pemandu kenderaan tersebut telah diberikan amaran dan dikenakan saman atas kesalahan memotong barisan.
Menerusi kenyataan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM di Facebook, amaran dan saman itu diberikan oleh JSPT Perak yang telah menjalankan siasatan awal dengan pergi ke alamat rumah pemilik kereta itu.
“JSPT memandang serius kelakuan ‘tidak reti bersabar’ pemandu yang suka potong barisan dan bersifat pentingkan diri tanpa menghiraukan pemandu lain.
“Tindakan sebegini boleh mendatangkan kemarahan dan boleh mencetuskan pergaduhan.
“Kerjasama netizen dalam menyalurkan sebarang video dan gambar kesalahan yang dilakukan oleh pengguna jalan raya amatlah kami hargai,” kata JSPT.
Sumber: Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM