Pos Malaysia Cipta Sejarah Lancar Kenderaan Autonomi
KUALA LUMPUR, 21 JANUARI 2026 - Pos Malaysia Berhad memasuki era baharu logisitik pintar dengan pelancaran kenderaan autonomi (AV) pertama di Malaysia.
Menerusi satu kenyataan, Pos Malaysia berkata inisiatif ini merupakan sebahagian daripada perjalanan transformasi dan inovasi digital serta automasi Pos Malaysia dalam mempercepatkan transisi menjadi peneraju logistik yang berdaya digital dan lestari.
AV yang diberi nama Zelos itu merupakan kenderaan logistik autonomi tanpa pemandu sepenuhnya dan 100 peratus elektrik.
Ia juga sifar pelepasan karbon yang dibina khusus untuk pengangkutan B2B, khususnya operasi penghantaran berjumlah tinggi, berulang, dari titik ke titik.
Syarikat tempatan, Atonomous Logistik Solutions (ALS) bertanggungjawab membawa, menyesuaikan dan mengoperasikan kenderaan itu di Malaysia. Inisiatif ini sekaligus membuka akses kepada platform logistik autonomi terbesar dan paling banyak digunakan secara komersial di dunia.
Kredit: Pos MalaysiaPengerusi Pos Malaysia, Tan Sri Syed Faisal Albar berata, inisiatif ini menandakan pencapaian dalam mentransformasi Pos Malaysia menjadi penyedia logistik moden, inovatif dan lestari.
"Zelos bukan sahaja mewakili kemajuan teknologi, malah ia merupakan langkah konkrit ke arah operasi yang lebih mampan dan cekap.
"Teknologi ini juga berpotensi untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan mengoptimumkan laluan penghantaran dan meminimumkan pembaziran dalam operasi harian kami.
"Kami berbangga menjadi pelopor dalam evolusi digital Malaysia dan memimpin industri ke arah era baharu automasi"," katanya.
Pelancaran kenderaan autonomi yang diberi nama Zelos ini telah dirasmikan oleh beberapa tetamu kehormat termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil pada Rabu. Selain itu, majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Pos Malaysia yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Charles Brewer dan Autonomous Logistic Solutions Sdn. Bhd. (ALS), diwakili oleh Pengarah Urusan, Alan Chong, turut diadakan.
Kredit: Pos MalaysiaSementara itu, Charles Brewer berkata Pos Malaysia bukan sekadar melancarkan kenderaan autonomi, tetapi membawa Malaysia ke era baharu logistik.
"Perintis autonomi ini adalah bukti komitmen kami terhadap inovasi, kecekapan, dan berkhidmat untuk masa depan negara. Kami amat berbangga memimpin perjalanan transformasi ini dan kami bersemangat dengan potensi yang dibukanya untuk pelanggan kamidan seluruh negara. Ini adalah langkah pertama dalam perjalanan panjang dan menarik untuk Pos Malaysia," katanya.
Alan Chong pula memaklumkan bahawa kerjasama dengan Pos Malaysia mengembangkan logistik autonomi daripada peringkat percubaan kepada operasi sebenar.
"Dengan pengintegrasian yang lancar ke dalam aliran kerja pos dan bungkusan sedia ada, kami menunjukkan bahawa autonomi Tahap 4 sudah bersedia untuk penggunaan dunia sebenar.
"Bersama Pos Malaysia, ini menetapkan preseden nasional untuk penggunaan industri yang lebih meluas dan membuka laluan jelas untuk kenderaan autonomi beroperasi di jalan raya Malaysia tidak lama lagi.
Inisiatif ini juga dikuasakan oleh sambungan 5G daripada rakan strategik ALS, Digital Nasional Berhad (DNB). Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Ismail berkata kerjasama ini merupakan langkah penting dalam perjalanan Malaysia untuk mempercepatkan transformasi digitalnya.
"Digital Nasional Berhad berbangga menjadi sebahagian daripada percubaan ini bersama Pos Malaysia dan ALS. Sebagai penyedia sambungan 5G utama Malaysia, kami komited menyokong pembangunan rangkaian autonomi negara sebagai sebahagian daripada pelan AI Nation negara.
"Sambungan 5G yang sangat dipercayai dan berprestasi tinggi adalah penting untuk membolehkan kes penggunaan autonomi termaju—daripada IoT kepada robotik autonomi dan kenderaan.
"Kami berharap dapat meneruskan kerjasama dengan rakan kongsi industri untuk membuka inovasi baharu yang akan mengukuhkan ekonomi digital masa depan Malaysia," katanya.
Untuk pengetahuan, Zelos mengendalikan lebih 15,000 kenderaan autonomi merentasi negara termasuk China, Singapura, dan Emiriah Arab Bersatu, menyokong pelbagai kes penggunaan dunia sebenar.