
Populasi Hanya 550k, Cape Verde Jadi Negara Kedua Terkecil Mara Ke Piala Dunia
Suasana meriah di ibu negara Cape Verde, Praia selepas negara itu melakar sejarah layak ke Piala Dunia 2026 buat kali pertama, lapor SBS News.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional Cape Verde, tuan rumah menang bergaya 3 gol tanpa balas ke atas Eswatini.
Walaupun mempunyai populasi penduduk yang kecil, sekitar 550,000 orang, Cape Verde berjaya mencatat sejarah sebagai negara kedua terkecil dunia yang layak ke Piala Dunia, selepas Iceland pada edisi 2018 di Rusia.
Rai Seperti Pesta Perayaan

Kegembiraan itu jelas terserlah apabila ribuan penyokong membanjiri jalanan di ibu kota negara itu sambil meniup hon dan menyalakan bunga api.
Malah ada yang turut menari bersama alunan muzik reggae dan funaná, muzik tradisional popular negara itu.
“Ia satu detik penuh bersejarah. Saya tiada kata-kata. Saya berada di stadium dan menyokong pasukan kami sepenuh hati,” kata peminat berusia 37 tahun, Jorge Junior Livramento, kepada AFP.
Penjaga gol veteran berusia 39 tahun, Vozinha, tidak mampu menahan sebak selepas tamat perlawanan.
“Saya telah bermimpi momen ini sejak kecil dan masanya telah tiba untuk meraikan,” katanya.
Sambutan ini sebagai tanda penghargaan kepada pasukan bola sepak kebanggaan negara itu.
Selain Cape Verde, lima lagi pasukan dari benua Afrika iaitu Algeria, Mesir, Maghribi, Tunisia dan Ghana mengesahkan tempat ke Piala Dunia 2026 yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.
Manakala bintang Manchester City, Erling Haaland menjadi wira Norway membawa negara itu layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998 apabila menewaskan Israel 5 gol tanpa balas.
Sumber: SBS News dan BBC Sport