
Polis Wanita Nekad Bakar Suami Hidup-Hidup Hingga Maut
Seorang pegawai polis wanita Indonesia dipercayai telah melakukan tindakan nekad dengan membakar suaminya, yang juga seorang anggota polis, hidup-hidup hingga maut.
Sebelum kejadian tragis itu berlaku, pasangan tersebut dikatakan telah bertengkar, lapor media tempatan.
Menurut pengakuan suspek kepada pihak berkuasa, suaminya sering menghabiskan gaji untuk berjudi dalam talian.
Wang yang sepatutnya digunakan untuk keperluan tiga anak mereka yang masih kecil, sebaliknya dibelanjakan untuk perjudian.
Pada saat kejadian, suspek kehilangan kawalan emosi dan menyiram petrol ke badan suaminya.
Menurut pihak polis tempatan, terdapat sumber api berhampiran tempat mereka bertengkar, yang kemudian menyambar petrol dan membakar suaminya.
Walaupun suaminya telah ‘dijilat’ api, suspek akhirnya menyedari apa yang berlaku dan segera membawa suaminya ke Hospital Wahidin Dr. Sulaiman Rosyid di Mojokerto.
Semasa di hospital, suspek dipercayai sempat memohon maaf kepada suaminya atas tindakannya.
Namun, malangnya, suaminya tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia akibat mengalami luka melecur yang serius, dengan 96 peratus badannya terbakar.
Media tempatan melaporkan bahawa suspek kini didakwa atas kesalahan keganasan rumah tangga.
Selain itu, difahamkan bahawa suspek juga mengalami trauma dan sedang menerima rawatan psikiatri selepas insiden terbabit.
BACA: Tiga Anggota Polis Ditahan Disyaki Terlibat Salah Laku
Sumber: Arkadia