SHAH ALAM, 8 Feb (Bernama) — Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah selepas menahan empat individu termasuk dua dalangnya dalam tiga serbuan di sekitar Lembah Klang pada 3 Feb.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata dalam serbuan bermula 4 petang di Puchong Jaya, Kuchai Lama dan Cheras itu, pihaknya turut merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM900,750.
“Dalam serbuan pertama di sebuah tempat letak kereta di Puchong, polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai dalang sindiket dan dua lelaki warga asing. Pemeriksaan terhadap suspek menemukan 13 bungkusan teh Cina dipercayai mengandungi dadah jenis syabu seberat 13.39 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM602,550.
”Polis turut menemukan 13,900 biji pil ekstasi dianggarkan bernilai RM250,200 dalam 13 bungkusan plastik semasa tangkapan dilakukan. Soal siasat lanjut terhadap suspek membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah di Kuchai Lama,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.
Tambah Arjunaidi, seorang lagi dalang iaitu lelaki tempatan ditahan dalam serbuan berkenaan dan polis merampas 10 bungkusan dadah jenis heroin seberat 4.4kg dianggarkan bernilai RM48,000 bersama suspek.
Katanya, polis turut merampas dua jenis kereta iaitu Toyota Altis dan Proton Waja dalam kedua-dua serbuan berkenaan dipercayai digunakan sindiket berkenaan untuk mengedar dadah.
Bagaimanapun katanya, dalam serbuan ketiga di sebuah rumah di Cheras, tiada sebarang rampasan atau tangkapan dilakukan.
Arjunaidi berkata siasatan mendapati dua warga asing itu berperanan sebagai penghantar bekalan dadah yang diperoleh dari negara jiran di utara tanah air manakala dua dalang berkenaan tidak mengenali antara satu sama lain tetapi berurusan dengan pembekal dadah yang sama.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati sindiket berkenaan dipercayai aktif mengedar dadah bagi pasaran Lembah Klang sejak November lepas dan ujian saringan air kencing menunjukkan kedua-dua dalang itu positif syabu serta mempunyai beberapa rekod jenayah berkaitan dadah.
Kata Arjunaidi, polis sedang menyiasat rangkaian sindiket penyeludupan dadah berkenaan dan usaha untuk menangkap saki baki kumpulan itu sedang giat dijalankan.
”Kesemua suspek berumur antara 44 dan 60 tahun direman hingga Rabu ini dan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
— BERNAMA