BANGKOK, 1 April (Bernama) — Polis Thailand memberi amaran supaya orang ramai tidak menjadikan Hari April Fool sebagai alasan untuk menyebarkan berita palsu, di tengah-tengah penularan COVID-19, lapor agensi berita Thailand (TNA).
“Berita palsu boleh mengelirukan masyarakat dan memberi kejutan terutamanya semasa wabak COVID-19 melanda,” kata Timbalan jurucakap Polis Diraja Thailand Kolonel Kritsana Pattanacharoen.
Mereka yang didapati bersalah melakukan kesalahan itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan/atau denda sehingga 40,000 baht kerana melanggar perintah eksekutif pentadbiran awam ketika darurat; hukuman penjara sehingga lima tahun dan/ atau denda sehingga 100,000 baht.
Amaran sama turut disuarakan Timbalan Komander Bahagian Pencegahan Jenayah Teknologi Kolonel Siriwat Deepor.
Beliau berkata lawak April Fool dilarang semasa krisis COVID-19 kerana kerajaan sedang melaksanakan langkah-langkah ketat untuk mengawal penyakit itu.
— BERNAMA