KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) — Polis menahan tiga individu termasuk sepasang suami isteri yang dipercayai mendalangi kegiatan pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang selain merampas dadah bernilai kira-kira RM1.37 juta pada 26 Feb lepas.
Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik JSJN (Risikan/ Operasi) Bukit Aman DCP Zainudin Ahmad berkata ketiga-tiga suspek ditahan melalui tiga serbuan dalam Operasi Khas Op Quicksand di sekitar ibu negara pada kira-kira 2 petang hari berkenaan.
“Serbuan polis membawa kepada penahanan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang berumur lingkungan 25 hingga 28 tahun di dua unit pangsapuri yang disewa mereka, dipercayai digunakan untuk pengedaran dadah.
“Pemeriksaan polis di sebuah rumah terbabit menemukan dadah jenis syabu seberat 38 kilogram dan heroin seberat 457 gram dengan kesemuanya dianggar bernilai RM1.37 juta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Menurutnya dadah tersebut cukup untuk kegunaan 191,523 penagih.
Selain itu, polis turut menyita aset milik suspek merangkumi tiga kenderaan, barang kemas dan wang tunai dengan nilai keseluruhan rampasan sekitar RM1.48 juta.
Zainudin berkata kesemua suspek didapati negatif dadah sementara semakan lanjut mendapati dua suspek lelaki terbabit mempunyai rekod lampau bersabit dadah.
Katanya sindiket itu memanfaatkan aplikasi WeChat dan Telegram untuk menjual dadah dan mereka dipercayai aktif sejak Julai tahun lepas.
“Berdasarkan siasatan polis, sindiket ini dipercayai menerima bekalan dadah secara pukal dari negara jiran, dan membungkus semula dadah itu untuk diedarkan kepada pelanggan mereka,” katanya, menambah kesemua suspek direman hingga 5 Mac dan kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
— BERNAMA