SIK, 10 Feb – Polis menahan seorang lelaki bisu dan dua wanita yang baru sahaja selesai membungkus 2,600 kilogram daun ketum dianggarkan bernilai RM156,000, dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Chong, di sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Sik, DSP Abdull Razak Osman berkata serbuan pada pukul 12.15 tengah malam itu dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Sik dalam Ops Khas Ketum selepas mendapat maklumat awam.
“Semasa serbuan, kesemua suspek warga tempatan berumur antara 31 dan 39 tahun itu dipercayai sedang menunggu lori untuk membawa daun ketum yang siap dibungkus dalam plastik berwarna hitam untuk dihantar ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
“Nilai pasaran daun ketum di Kuala Lumpur agak tinggi iaitu RM60 sekilogram dan siasatan mendapati bekalan daun ketum itu diperolehi dari beberapa kawasan di negeri ini termasuk kawasan sekitar Kampung Chong, Sik,” tambahnya.
Beliau berkata kesemua suspek cuba melarikan diri semasa diserbu, namun mereka berjaya diberkas, dan siasatan lanjut mendapati mereka dipercayai aktif melakukan kegiatan itu sejak setahun yang lepas.
“Mereka juga mengaku sudah beberapa kali mengedar daun ketum ke Kuala Lumpur dan Kelantan berikutan permintaan yang tinggi di sana,” katanya dan menambah semua suspek direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
— BERNAMA