TUMPAT, 22 Nov (Bernama) — Seorang daripada dua suspek yang terlibat dalam kes samun seorang wanita melibatkan kerugian RM7,000 di Kampung Ana, di sini Sabtu lepas, ditahan pagi semalam (21 Nov).
Ketua Polis Tumpat Supt Ab Rashid Mat Daud berkata suspek berusia 32 tahun yang ditahan di Wakaf Bharu itu, memiliki 17 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah serta turut positif dadah jenis amphetamine.
Beliau berkata dalam kejadian pada 3 petang itu, wanita berusia 43 tahun tersebut sedang menaiki motosikal di sebuah lorong di kampung berkenaan, sebelum didatangi dua lelaki tidak dikenali yang menaiki motosikal dari arah belakang dan menghalang motosikalnya.
“Pembonceng (suspek) turun dan menghampiri mangsa sambil mengeluarkan dan menunjukkan sebilah pisau ke arahnya serta menarik seutas gelang tangan emas yang dipakai mangsa sebelum melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, susulan kejadian itu, polis telah memperoleh rakaman kamera litar tertutup dari sebuah rumah di lokasi kejadian bagi mengenal pasti kedua-dua suspek.
Ab Rashid berkata suspek direman enam hari bermula semalam sehingga Jumaat ini (26 Nov) bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan seorang lagi suspek yang terlibat dalam kes itu sedang diburu.
Sumber: BERNAMA