KUALA LUMPUR, 25 Jan – Polis menahan seorang lelaki yang memiliki 10 rekod jenayah lampau kerana disyaki terbabit dalam kejadian samun seorang lelaki warga asing di sebuah rumah di Jalan Pandan Indah 18 di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Esha berkata kejadian berlaku pada pukul 4.34 petang semasa warga asing itu sedang mencari kotak di kawasan berhampiran apabila dia dihampiri suspek yang menawarkan kotak di kediamannya.
“Ketika lelaki itu mahu masuk di depan pagar rumah, suspek mengacukan pisau dan merampas beg warga asing itu yang mengandungi wang tunai,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek berusia 32 tahun berjaya ditahan kira-kira pukul 5.10 pada hari yang sama dan polis turut merampas sebilah pisau, pakaian dan wang tunai RM53 daripada suspek.
Mohamad Farouk berkata suspek didapati mempunyai lapan rekod jenayah membabitkan kes samun, pecah rumah, curi, ugutan jenayah, mencederakan orang serta dua rekod dadah, dan dia kini direman selama tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaaan iaitu samun bersenjata yng sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara 14 tahun dan sebat.
— BERNAMA