SEPANG, 21 Julai – Polis Sepang menumpaskan Geng Edy Longor yang mensasarkan tapak pembinaan di kawasan Sepang untuk melakukan kegiatan samun bersenjata sejak pertengahan awal tahun lepas, selepas menahan sembilan lelaki di beberapa lokasi dalam tempoh tiga hari bermula 5 Julai lepas.
Ketua Polis Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata empat warga tempatan dan lima warga asing berumur antara 19 dan 53 tahun termasuk ketua kumpulan itu diserahkan kepada Ibupejabat Polis Daerah Kajang untuk membantu siasatan kes samun, selepas tempoh reman mereka tamat Jumaat lepas.
“Dengan semua tangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan lima kes samun tapak pembinaan dalam kawasan Sepang iaitu tiga di Cyberjaya dan dua di Dengkil,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata tangkapan pertama dilakukan di Kuala Lumpur pada pukul 1.00 pagi 5 Julai lepas melibatkan seorang warga tempatan yang menjadikan teksi yang disewanya sebagai kenderaan untuk melakukan jenayah selain mencari pembeli untuk menjual hasil samun.
Tangkapan seterusnya pada hari yang sama pada pukul 2.30 pagi di Puchong, polis memberkas ketua kumpulan itu yang juga merupakan lelaki tempatan berumur 39 tahun, bersama-sama tiga lagi anggota kumpulan iaitu seorang warga tempatan dan dua bukan warganegara.
Wan Kamarul berkata polis kemudian menjejaki sebuah kedai besi buruk di Sungai Besi, Kuala Lumpur keesokkannya (6 Julai) dan memberkas seorang warga tempatan dan dua warga asing, dan pada 7 Julai pula, polis menahan seorang lagi anggota Geng Edy Longor yang merupakan warga tempatan berumur 47 tahun di Ulu Kelang.
Beliau berkata kesemua mereka yang ditahan tidak mempunyai rekod lampau, dan kes sedang disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.
— BERNAMA