IPOH, 28 April (Bernama) — Polis menahan seorang lelaki dipercayai pengedar dadah bersama sejumlah dadah bernilai RM121,600 di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gunung Semanggol, Kerian petang semalam.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata lelaki berusia 33 tahun itu ditahan sepasukan pegawai kanan dan pegawai rendah polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak pada kira-kira pukul 6.10 petang, hasil risikan dan maklumat yang diterima.
“Hasil pemeriksaan polis menjumpai 304 paket plastik pelbagai warna disyaki dadah dianggar seberat 6.8 kilogram yang dibawanya dalam satu bungkusan dan nilai pasaran keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan RM121,600,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pihak polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Myvi bernilai RM35,000 yang disiasat di bawah Akta Perlucuthakan Harta 1988 dan siasatan awal mendapati suspek yang membawa bekalan dadah itu dari arah utara sedang dalam perjalanan ke arah selatan.
Katanya suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
— BERNAMA