KUALA LUMPUR, 29 Jun – Polis menahan enam lelaki warga asing kerana disyaki terlibat dengan kejadian pecah masuk pejabat di sebuah kondominium di Kuchai Enterpreneurs Park Kuala Lumpur, semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar berkata kesemua warga asing berusia 23 hingga 35 tahun ditahan kira-kira pukul 7.00 petang, berdasarkan kepada rakaman analisis CCTV kes pecah masuk pejabat di kawasan itu.
Beliau berkata pada mulanya polis menahan seorang warga asing berumur 23 tahun yang dilihat dalam keadaan mencurigakan berdekatan pondok pengawal di sebuah kondominium di kawasan berkenaan, dan lelaki itu kemudiannya kemudian membawa pihak polis ke sebuah rumah di dalam kondominium terbabit.
Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata lima lelaki warga asing ditemui berada di ruang tamu rumah berkenaan, dan siasatan awal polis mendapati empat daripada lima lelaki warga asing di rumah berkenaan mengaku telah melakukan pecah pejabat di sebuah premis di dalam kawasan Kuchai Enterpreneurs Park Kuala Lumpur.
Menurutnya semua suspek ditahan sehingga 12 Julai ini bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat bagi kesalahan kedua dan seterusnya.
“Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.
— BERNAMA