
Polis Tahan Calon SPM Disyaki Bunuh Ibu, Abang Kandung
Seorang pelajar Tingkatan Lima telah ditahan pihak polis selepas disyaki membunuh ibu dan abang kandungnya di kediaman mereka di Taman Rambai Mutiara, Bukit Rambai, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa yang merupakan seorang ibu tunggal, 51, serta anak sulungnya, 21, ditemui tidak bernyawa di ruang tamu rumah dengan beberapa kesan tikaman pada tubuh mereka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, seorang lagi mangsa iaitu adik bongsu suspek, 13, turut ditemui dalam keadaan berlumuran darah di garaj rumah setingkat tersebut.
“Mangsa wanita merupakan seorang guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan mempunyai tiga orang anak yang mana suspek merupakan anak keduanya.
“Anak sulungnya yang turut terbunuh dalam kejadian ini merupakan pelajar sebuah kolej di Melaka dan anak bongsunya yang cedera dan kini dirawat di Hospital Melaka,” kata beliau dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK).
Menurut beliau, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berpunca daripada tekanan perasaan dan rasa dendam yang dipendam oleh suspek kerana sering dipaksa belajar bagi memperoleh keputusan cemerlang.
“Mungkin ibunya seorang guru dan dia nak anaknya dapat keputusan yang terbaik kerana suspek ini akan mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
“Jadi dia mungkin selalu dimarahi supaya untuk belajar lebih tekun lagi dan jiran-jiran juga maklumkan sering dengar pergaduhan di rumah itu,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam insiden itu, suspek dipercayai cuba menyerang ibunya yang berada di dalam bilik tidur.
Abang sulungnya yang menyedari kejadian itu cuba menyelamatkan ibu mereka, namun berlaku pergelutan yang menyebabkan kedua-dua mereka maut akibat ditikam.
“Pergelutan itu menyebabkan kedua-dua mereka maut ditikam manakala suspek dikatakan telah mengarahkan adik bongsunya keluar daripada rumah, namun remaja itu enggan berbuat demikian sebelum dia turut ditikam.
“Mungkin dia tidak ada apa-apa masalah dengan adik dia… dan dia telah minta adik dia keluar rumah, tapi adiknya tak nak pergi… dan dia cuba bunuh adiknya itu.
“Adiknya kemudian sempat lari keluar dari rumah dalam keadaan berlumuran darah sebelum berjaya diselamatkan,” tambahnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek juga dipercayai cuba menghapuskan bukti dengan membuang pakaian yang dipakainya ke dalam semak berhampiran.
Hasil siasatan, pihak polis turut menemui sebilah pisau lipat yang dipercayai digunakan dalam kejadian, disembunyikan di dalam beg sekolah suspek yang berada di garaj rumah.
Kata beliau lagi, kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dan mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Melaka untuk proses bedah siasat.
Suspek pula disahkan tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol. Dia akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh esok bagi permohonan reman.
BACA: Syor Perjalanan Rombongan Pelajar Universiti Hanya Pada Waktu Siang Wajar Diperhalusi
Sumber: Astro Awani