
Polis Tahan Bekas Ahli Politik Terbabit Kes Pemerdagangan Orang
Seorang bekas ahli politik antara 11 yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam kes pemerdangangan orang (eksploitasi buruh) di Georgetown, Pulau Pinang, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, suspek bekas ahli politik bergelar Datuk terbabit ditahan di rumahnya pada 8.25 malam semalam.
Difahamkan segalanya bermula selepas penangkapan dilakukan ke atas lapan lelaki dan dua wanita pada 27 Oktober lalu.
Jelasnya, beberapa siri serbuan dilakukan oleh Polis Kontinjen Kedah dan Pulau Pinang terhadap kesemua suspek terlibat berusia lingkungan 22 hingga 60 tahun selepas maklumat awam berkaitan mereka diterima.
Rentetan penangkapan itu membawa kepada penemuan 13 mangsa yang terdiri daripada lelaki tempatan yang berjaya diselamatkan.
“Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) telah menahan seorang lelaki di sebuah rumah kedai yang dijadikan premis pemulihan dadah dan alkohol.
“Susulan tangkapan lelaki tersebut, kita berjaya menyelamatkan tujuh mangsa yang disyaki mangsa pemerdagangan orang.
“Serbuan seterusnya pula, kita menahan tujuh suspek iaitu enam lelaki dan seorang wanita serta menyelamatkan tiga mangsa berusia lingkungan 22 hingga 46 tahun,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Shuhaily berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di IPK Pulau Pinang hari ini.

Dalam pada itu jelas Mohd Shuhaily, dua lelaki serta seorang lagi wanita pula ditahan dalam serbuan ketiga yang dilakukan di sekitar daerah Timur Laut pada 8.25 malam semalam.
“Salah seorang daripada lelaki yang ditahan dalam serbuan ketiga itu adalah bekas ahli politik tersebut. Dalam serbuan tersebut, tiga lagi mangsa berjaya diselamatkan.
“Siasatan awal mendapati, bekas ahli politik tersebut merupakan pengasas premis pemulihan dadah dan alkohol berkenaan.
“Premis tersebut beroperasi sejak dua tahun lalu tanpa didaftarkan dengan mana-mana jabatan kerajaan,” katanya.
Tambah Mohd Shuhaily, kesemua mangsa terlibat diseksa, dipukul dan dipaksa untuk bekerja tanpa gaji, malah ia kononnya disasarkan kepada invididu yang mempunyai masalah ketagihan.
“Hasil siasatan mendapati, sindiket ini menyasarkan individu yang mempunyai masalah ketagihan dadah dan alkohol.
“Mereka ini dikenakan bayaran antara RM1,200 hingga RM1,500 kononnya untuk merawat ketagihan yang dialami.
“Semua mangsa diarahkan bekerja tanpa dibayar gaji dan tiada cuti rehat. Mangsa diarahkan bekerja di kedai cuci kereta, kedai servis pendingin hawa, kedai kayu dan kedai makan,” katanya.
Katanya, kebanyakan mangsa mempunyai kecederaan di badan akibat dipukul.
“Hasil pemeriksaan fizikal mendapati, kebanyakan mangsa mempunyai kesan kecederaan akibat dipukul. Selain itu, kita turut merampas beberapa barangan antaranya sebuah komputer riba, sembilan buah telefon bimbit, dua utas rantai besi, sebatang paip PVC dan dua batang besi penyambung katil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Penyeludupan Migran 2010 (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun dan denda,” katanya.
Sumber: Sinar Harian