
Baru-baru ini, sempat tular di media sosial video sebuah taman tema air, dipercayai Taman Tema Sunway Lagoon, Subang Jaya yang dikatakan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi negeri-negeri Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman dalam satu kenyataan, video pendek tersebut dipercayai dirakam pada 6 November 2021 di kawasan teman tema air berombak Sunway Lagoon di mana lebih kurang 1,900 pengunjung berada di tempat yang sama pada satu-satu masa.
Pun begitu, Abd Khalid memaklumkan bahawa taman tema tersebut tidak melanggar SOP PPN Fasa 4 kerana had individu yang ditetapkan di tempat tersebut adalah 5,000 orang pada masa yang sama. Dalam erti kata lain, jumlah 1,900 pengunjung masih di bawah jumlah yang ditetapkan.
“Hasil perbincangan dengan pihak pengurusan Taman Tema Sunway Lagoon, dinasihatkan hanya 1,000 orang dan ke bawah boleh berada di dalam water park berombak pada satu-satu masa.
“Pihak pengurusan Taman Teman Sunway Lagoon telah bersetuju dengan cadangan tersebut dan akan mengambil langkah yang sesuai bagi meastikan ianya dilaksanakan,” kata Abd Khalid dalam kenyaatannya semalam.
Memetik laporan Sinar Harian, Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Mohd Fairus Jaafar dalam kenyataanya sebelum ini memaklumkan, Taman Tema Sunway Lagoon dibenarkan untuk memuatkan 20,000 pengunjung dalam satu-satu masa, berbanding kapasiti penuh 40,000 orang.
Dalam kejadian 6 November lalu, jumlah pengunjung yang direkodkan di taman tema tersebut adalah 3,513 orang. Tambah Mohd Fairus, pihaknya akan menjalankan siasatan terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya jika berlaku perlanggaran SOP Fasa 4 PPN.
Sumber: Polis Daerah Subang Jaya, Sinar Harian