
Polis Siasat Lelaki Kepit Kepala Kanak-kanak Pesakit Autisme Guna Kaki
Gara-gara mengepit kepala kanak-kanak menggunakan kaki, polis bertindak untuk menyiasat seorang juruterapi yang bertanggungjawab ke atas perlakuan itu yang berlaku di Depok, Indonesia.
Memetik CNN, satu rakaman video yang dimuat naik di sebuah laman Instagram menunjukkan suspek terbabit melakukan perbuatan yang dikatakan sebagai mendera.
Klip video terbabit telah menjadi tular susulan mendapat perhatian orang ramai.
Ketua Bahagian Perhubungan Awam Polis Metro Depok, AKP Fitri berkata kejadian itu berlaku di Hospital Hermina Depok pada Selasa sekitar 1 tengahari.
Difahamkan, mangsa menghidap penyakit ASD (Autisme Spectrum Disorder) dan menuju ke hospital dengan tujuan untuk menjalani terapi pertuturan.
Akan tetapi, setelah tibanya kanak-kanak itu di hospital, Fitri berkata suspek sebaliknya melakukan perkara yang menyalahi tugasannya.
“Mangsa mahu mendapatkan terapi pertuturan di hospital bersama juruterapi tetapi lelaki itu sibuk bermain telefon pintar dan tidak mengendahkan kanak-kanak itu,” kata Fitri pada Rabu.
Kemudian, ketika suspek berkenaan melakukan rawatan ke atas kanak-kanak itu, suspek bertindak mengepitkan kepala mangsa menggunakan kedua-dua belah kaki.
“Suspek itu pun kepit kepala mangsa sampai dia menangis kuat-kuat dan suspek tidak berasa bersalah dengan perbuatannya kepada mangsa,” ujar Fitri.
Fitri berkata polis sedang mengenal pasti suspek terbabit dan pencarian masih dijalankan.
“Masih mencari suspek yang terlibat dengan kejadian itu,” tambahnya.
Difahamkan, suspek akan dikenakan Pasal 80 Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2014 mengenai Perlindungan Anak.
Berdasarkan video tersebut, suspek juruterapi itu dipercayai mengepit kepala kanak-kanak tersebut menggunakan kedu-dua belah kakinya dan mangsa dilihat menangis serta cuba menjerit untuk meloloskan diri.
Mangsa juga cuba menggerakkan badannya, namun hanya kakinya sahaja yang boleh digerakkan diangkat ke atas.
“Kanak-kanak kecil ini tersepit di kepala sehingga menangis dan menjerit tetapi tidak diendahkan oleh juruterapi, malah sibuk bermain telefon bimbitnya.
“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada pihak hospital tetapi sehingga kini tiada tindakan daripada pihak pengurusan,” memetik kapsyen di laman Instagram itu.
Sumber: CNN Indonesia