NIBONG TEBAL, 6 April – Polis membuka kertas siasatan berhubung kejadian seorang lelaki cedera dipukul di sebuah rumah di Nibong Tebal, di sini dan videonya tular di media sosial sejak semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Lee Chong Chern berkata pihaknya terkesan dengan dua video yang tular itu pada 10.38 pagi semalam dan mengambil tindakan segera dengan menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut yang berlaku pada 12.50 tengah malam Ahad.
“Dua video itu masing-masing berdurasi 44 saat dan 26 saat dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook “dorai samy” memaparkan kejadian seorang lelaki (mangsa) dikasari oleh beberapa individu lelaki (suspek) di sebuah rumah di Nibong Tebal.
“Berdasarkan siasatan, kejadian tersebut berpunca daripada salah faham dan perasaan cemburu yang tidak terkawal sehingga menyebabkan mangsa dipukul dan mengalami kecederaan di kepala dan lengan kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Sungai Bakap (HSB) namun dipindahkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Lee berkata pihaknya menerima dua laporan polis berhubung kejadian tersebut dengan satu laporan dibuat oleh pengadu bertujuan untuk menarik balik laporan polis yang dibuat sebelum ini namun setakat ini mangsa masih belum membuat laporan polis.
Katanya berikutan kejadian ini, polis telah membuka kertas siasatan kes itu menurut Seksyen 498 dan 506 Kanun Keseksaan serta menahan suspek terlibat dalam insiden tersebut bagi membantu siasatan.
“Kertas siasatan kes itu telah dilengkapkan dan akan dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwaraya untuk perhatian dan arahan lanjut,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau menularkan video itu sehingga boleh mengeruhkan lagi keadaan dan tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya membuat laporan polis serta menyerahkan kepada pihaknya untuk tindakan susulan.
— BERNAMA