ALOR SETAR, 10 Julai (Bernama) — Polis telah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penganiayaan terhadap haiwan oleh penguat kuasa Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) semasa operasi menangkap anjing liar di kawasan perumahan Taman Tiram di Kulim, baru-baru ini.
Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata video berkaitan kejadian itu telah tular di media sosial dan pihaknya menerima dua laporan polis yang menzahirkan perasaan tidak puas hati terhadap tindakan penguat kuasa yang dianggap kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 428 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan membunuh atau mencacatkan seekor haiwan dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.
“Siasatan terperinci masih dijalankan bagi mengenal pasti undang-undang dan prosedur operasi standard yang diguna pakai dalam tindakan bagi melupus haiwan liar yang berkeliaran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menularkan video tersebut yang dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran serta kebimbangan masyarakat.
Khamis lepas, pihak MPKK telah menjalankan operasi menghapuskan anjing liar di sekitar Kulim sebelum satu video yang memaparkan penguat kuasa menjalankan tugas menangkap haiwan berkenaan tular di media sosial hingga menyebabkan banyak pihak tidak berpuas hati dengan tindakan itu.
Sumber: BERNAMA