Polis Serbu ‘Pot’ Dadah Di Rompin, 136 Ditahan

Eyla Azri

KUANTAN,14 Okt (Bernama) — Polis menahan 136 individu dan merampas 1.4 kilogram dadah dalam operasi Op Sarang dijalankan selama tiga hari bermula Isnin di sekitar Rompin, dekat sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah narkotik Pahang Supt Mohd Azam Ab Razak berkata kesemua individu ditahan berusia 19 hingga 60 tahun dan terlibat dengan pelbagai kesalahan berkaitan dadah.

Beliau berkata operasi yang dijalankan dengan kerjasama anggota dan pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin itu memberi tumpuan di kawasan felda.

“Dalam operasi berkenaan lima pot dadah telah digempur bagi mengambil tindakan terhadap individu atau sindiket yang melakukan aktiviti dan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut beliau, dalam serbuan berkenaan polis merampas dadah jenis heroin dan syabu melibatkan nilai rampasan dan sitaan berjumlah RM105,200.

Sementara itu, Mohd Azam menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah di talian 09-5051999/2202 (Pusat Kawalan Kontinjen Pahang) atau 012-2087222 (Hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik).

— BERNAMA