video tular pengedar dadah
Gambar: Sandakan Viral Kini

Polis Sahkan Video Tular Papar Usaha Tahan Suspek Pengedar Dadah Di Sandakan

Iqbal Yasir

SANDAKAN, 22 Ogos (Bernama) — Polis mengesahkan satu video berdurasi 30 saat memaparkan cubaan menahan sebuah kereta yang tular hari ini, adalah rakaman video satu operasi oleh pihak berkuasa bagi menahan sebuah kenderaan dipandu individu disyaki pengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata kejadian berlaku di kawasan parkir Program Perumahan Rakyat (PPR) Sungai Manila dekat sini pukul 11.15 pagi tadi membabitkan lima anggota polis yang cuba menahan sebuah kenderaan jenis Perodua Kenari berwarna kelabu.

“Suspek bertindak agresif dan hampir melanggar salah seorang anggota serbuan (sehingga) memaksa anggota (polis) melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek untuk menghentikan kenderaan itu.

“Anggota serbuan yang lain cuba memecahkan cermin hadapan (kenderaan suspek) menggunakan walkie talkie menyebabkan ada kesan hentakan pada cermin hadapan kenderaan suspek,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata suspek bagaimanapun lolos daripada serbuan itu, dan kereta berkenaan kemudiannya ditemukan di tepi jalan kira-kira 2 kilometer dari tempat kejadian.

Abdul Fuad meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP R.Jas Dewd dengan menelefon 013-3598455.

Sumber: Bernama/Sandakan Viral Kini