Satu video yang memaparkan pasukan perubatan sedang melakukan pemeriksaan ke atas seorang lelaki yang terbaring di tepi jalan telah menjadi tular di media sosial.
Menurut laporan akhbar Kosmo, lelaki itu telah disahkan meninggal dunia akibat daripada COVID-19.
Video yang berdurasi selama 19 saat itu dilaporkan dirakam di Jalan 3 Tepi Laut, Tanjung Sepat.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor @ Saleh mengesahkan bahawa kejadian tersebut berlaku sekitar pukul 5 petang pada Rabu lalu.
Anggota daripada Balai Polis Tanjung Sepat mengambil maklum selepas mendapat laporan daripada orang awam susulan terdapat seorang lelaki sedang terbaring di tepi jalan.
Ekoran daripada itu, pihak polis dilaporkan segera menghubungi pegawai kecemasan klinik kesihatan Tanjong Sepat untuk bantuan awal.
“Pegawai kesihatan telah mengesahkan lelaki berusia 53 tahun itu telah meninggal dunia.
“Siasatan awal dijalankan mendapati tiada unsur jenayah sebelum mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Banting untuk bedah siasat,” katanya memetik laporan Kosmo.
Beliau turut menyatakan bahawa, hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati kematian lelaki itu adalah disebabkan COVID-19.