Polis Sahkan Lelaki Bunuh Ibu Bapa Miliki 9 Rekod Jenayah Dadah
Lelaki yang menikam kedua ibu bapanya di Kampung Sungai Penchala semalam disahkan memiliki sembilan rekod jenayah lampau melibatkan dadah, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Brickfields, ACP Amihizam Abdul Shukor mengesahkan perkara tersebut selepas melakukan semakan terhadap suspek.
Katanya, pada jam 7.43 Sabtu pihaknya menerima maklumat berkaitan pertengkaran itu daripada orang awam yang mengatakan seorang lelaki bergaduh bersama ibu bapanya.
“Akibat kejadian tersebut, pasangan suami isteri ditemui terbaring di lantai rumah dipercayai ditikam.
“Siasatan lanjut kes ini sedang diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Suspek kemudiannya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran dengan lokasi kejadian, menurut Amihizam.
Bagaimanapun lelaki tersebut berjaya ditahan di Terowong Penchala Lebuhraya Sprint pada jam 10.20 malam.
Penangkapan suspek yang juga merupakan anak lelaki si mati diberkas oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Ujarnya, kes tersebut berjaya diselesaikan polis dalam masa dua jam 40 minit.
Menurut sumber polis, pasangan suami isteri berusia 82 dan 72 tahun itu ditemukan terbaring berlumuran darah di ruang tamu rumah.
Sumber berkata berlaku pertengkaran antara pasangan berkenaan dan anak lelaki mereka berusia 42 tahun yang dipercayai penagih dadah pada sekitar jam 7 malam.
“Dalam pergaduhan itu, anak lelaki itu dikatakan mengambil senjata tajam sebelum menikam kedua ibu bapa menyebabkan mereka mengalami kecederaan parah.
“Jiran yang menyedari kejadian segera menghubungi polis untuk bantuan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian